Timbalan Presiden
PAS Mohamad Sabu menggesa anggota parti Islam tersebut supaya patuh
kepada keputusan meletak calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam
pilihan raya kecil di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Beberapa pengikut akar umbi PAS meluahkan rasa tidak puas hati terhadap
keputusan meletak Anwar di Kajang, malah Pemuda PAS Selangor juga
mengancam untuk memboikot pilihan raya tersebut.
"Boleh ambil pandangan peribadi tapi keputusan parti yang diambil
kira," kata Mohamad dalam sidang media bersama Anwar di ibu pejabat PKR
petang ini.
Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu juga menolak kenyataan mengatakan jawatan menteri besar bukan eksklusif.
"PAS tak kata, saya sini. Itu pandangan peribadi, bebaslah," kata
Mohamad apabila ditanya sama ada jawatan menteri besar eksklusif kepada
PKR sahaja.
Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan hari ini juga membidas
tindakan PKR yang dianggapnya mempermainkan rakyat apabila mengosongkan
kerusi DUN Kajang.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga mengingatkan
pemimpin dan ahli PAS supaya tidak membuat sebarang kenyataan bersifat
spekulatif berhubung isu kekosongan kerusi di Kajang dan kedudukan
menteri besar Selangor.
Menurut Mustafa, sehingga kini parti Islam itu dan Pakatan Rakyat (PR)
tidak pernah membincangkan isu berkaitan kedudukan menteri besar
Selangor dan apa yang dibincangkan hanyalah tentang kekosongan DUN
Kajang selepas Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi pada Isnin.
"Secara amalan yang berlaku dalam PR, mana-mana kerusi yang dikosongkan
atas apa juga sebab sekalipun, calon yang akan mengisi kekosongan itu
adalah daripada parti yang bertanding di kawasan itu sebelumnya," kata
Mustafa dipetik daripada portal milik PAS Harakahdaily.
"Oleh kerana DUN Kajang pada pilihan raya umum lalu ditandingi calon
PKR, maka calon yang dipilih untuk mengisi kekosongan itu mestilah
daripada PKR."
Menurut Mustafa, siapa pun calon yang dicadangkan oleh PKR untuk
mengisi kekosongan itu akan disokong oleh parti-parti komponen PR
seperti amalan yang berlaku sebelum ini.
Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Isnin lalu mengumumkan peletakan
jawatan Lee Chin Cheh selaku Adun Kajang dalam satu surat yang
diterimanya pada hari yang sama.
Semalam PR mengumumkan Ketua Umum PKR, Anwar dipilih untuk bertanding PRK DUN tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat 5 Februari ini bagi
membincangkan tarikh dan persiapan PRK tersebut. – 29 Januari 2014.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment