Saturday, January 11, 2014

Pemuda PAS mahu Malaysia manfaat kehebatan Erdogan

January 11, 2014
Pemuda PAS menyambut baik kedatangan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia semalam dan meminta Malaysia memanfaatkan sepenuhnya kedatangan tokoh yang sangat dikagumi sebahagian pemimpin PAS itu.

Sempena nama Erdogan, satu golongan yang progresif dalam PAS digelar kumpulan Erdogan dan menang banyak kerusi dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

"Nama Erdogan dijulang sebagai antara pemimpin moden paling hebat dan berjaya dan Pemuda PAS yakin tidak mustahil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mampu mencapai kehebatan seperti Erdogan," kata Raja Ahmad Al Hiss (gambar), Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS.

 Raja Ahmad berkata, kehadiran Erdogan ke Malaysia dalam misi mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turki disambut sebagai tetamu rasmi negara ini.
Katanya, selain perbincangan dalam segenap aspek antara Malaysia dan Turki, Pemuda PAS mengajak Najib belajar erti kesungguhan dan ketegasan prinsip Erdogan. 
Raja Ahmad berkata, Erdogan amat lantang menentang kemungkaran serta kezaliman pemimpin negara Mesir dan Syria sewaktu tumbangnya Dr Morsi di tangan rejim As Sisi.
“Beliau juga lantang mengutuk malah mengirimkan bantuan terhadap rakyat Syria ketika Basyar Asad membunuh rakyatnya sendiri,” katanya.

Erdogan adalah satu-satunya pemimpin negara yang begitu lantang mengkritik Amerika Syarikat dan sekutunya Israel dalam dasar luar mereka yang begitu zalim.
"Erdogan juga tanpa gentar mengisytiharkan mahu mengembalikan pemerintahan Uthmaniyyah di negaranya yang masih berkarat dengan fahaman sekularisme," katanya.
Daripada aspek lain, Erdogan berjaya mengubah landskap politik dan ekonomi negaranya dari negara yang ketinggalan menjadi negara maju yang disegani di dunia.

Kejayaan beliau memimpin kerajaan dan negaranya didorong oleh sifat amanah, telus, bertanggungjawab, mengutamakan rakyat serta memerangi rasuah dan pembaziran.
Raja Ahmad berkata, Erdogan begitu berani mengambil tindakan terhadap pegawai dan menteri Kabinetnya yang menyeleweng termasuk memecat mereka.

"Pemuda PAS mengajak rakyat Malaysia untuk mengkaji sejarah Turki lama dan moden. Demografi Turki yang terletak antara Asia dan Eropah berjaya berdiri dengan sendirinya tanpa bergantung kepada kuasa besar dunia," katanya. – 11 Januari, 2014.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment