- Jan 15, 2014
- Norhayati Umor|Selangor Kini
SHAH ALAM:
Pusat Giat MARA Selayang perlu memperbaiki struktur bangunannya dalam
masa setahun dan boleh beroperasi seperti biasa sekiranya mempunyai dana
mencukupi untuk operasi pusat itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim, berkata sekiranya Pusat Giat MARA itu tidak mahu
meneruskan operasi, mereka boleh mengosongkan premis dan Kerajaan Negeri
akan memberi peluang kepada syarikat lain bagi mewujudkan pusat latihan
industri penerbangan.
Katanya, notis setahun diberi baru-baru
ini adalah bagi memantau operasi pusat itu dan jika tidak menepati
kehendak Kerajaan Negeri maka tapak itu perlu dikosongkan.
“Dalam
masa tiga atau empat tahun akan datang, akan ada sistem perakaunan
negara dengan setiap negeri bukan sahaja menyediakan akaun disatukan
dalam bentuk penerimaan dan bayaran tetapi menyediakan laporan tentang
aset dan hasil Kerajaan Negeri.
“Kerajaan negeri menyediakan satu
pasukan ‘task force’ tanah untuk menjelajah setiap daerah untuk
mengenal pasti dan membuat laporan tentang tanah milikan Kerajaan
Negeri.
“Banyak bangunan kita dapati didirikan atas tanah
kerajaan, salah satunya ialah Giat MARA ini yang sepatutnya dibina
sebagai dewan orang ramai tetapi akhirnya dijadikan bengkel untuk pusat
latihan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat
Exco, di Bangunan SUK, di sini.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan
Negeri banyak membantu golongan Melayu di negeri itu berbanding Kerajaan
BN sebelum ini dengan pelaksanaan dasar yang adil kepada semua kaum.
“PR negeri sudah membelanjakan RM800 juta menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk diberikan kepada rakyat.
“Berdasarkan
fakta melalui MES, kajian kita dapati dari 2008 hingga kini, kita jauh
lebih banyak membantu golongan Melayu seterusnya India dan Cina,” kata
Abdul Khalid.
No comments:
Post a Comment