Friday, April 11, 2014

Apa “yang tidak menyenangkan” dengan menarik balik halangan ke atas pemimpin pembangkang?

KOMENTAR OLEH THE MALAYSIAN INSIDER April 10, 2014
Ahli Parlimen DAP Tony Pua (gambar) dihalang daripada berucap di forum "Malaysian Summit of Australia" (Masa) di Melbourne pada 22 April atas alasan penyertaannya "tidak menyenangkan semua pihak" untuk menjadi salah seorang ahli panel.

Antara penajanya ialah Shell Malaysia, Astro, Education Malaysia Australia, Ayam Brand, Malaysian Australian Alumni Council dan Kelab Umno Australia.
Jelas sekali, mereka berhak memutuskan barisan panel memandangkan sidang kemuncak tahunan tersebut juga menampilkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Datuk Paduka Marina Mahathir.


 Ini bukan kali pertama mereka yang kritikal terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dihalang daripada menghadiri majlis pelajar.

Minggu lepas Universiti Malaya (UM) enggan membenarkan bekas pengerusi bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan berucap di sidang perundangan.
Pua, yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mendedahkan dihalang sebanyak tiga kali daripada bercakap di UM. Ya, ia universiti yang sama, UM.

Insiden ini menunjukkan tahap pemikiran universiti, penganjur dan penaja yang lebih berminat menjaga kerajaan pemerintah daripada menjadi peneraju kepada pelajar untuk mendengar dan belajar daripada kedua-dua belah pihak tanpa mengira fahaman politik.
Masa memberitahu Pua mengenai penarikan balik jemputan tersebut, "Walaupun kami berusaha untuk menyakinkan mereka, penganjur utama kami merasakan ia tidak menyenangkan untuk anda berada dalam barisan panel”.

Bagi penganjur, majlis perlu diteruskan dan atas ihsan tajaan, ia pasti tidak munasabah untuk mereka mengambil pendirian membatalkan sidang tersebut walaupun tanpa Pua sebagai ahli panel.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia dan pelajar di Australia tidak mungkin seiring dengan penganjur.
Ia pasti satu penghinaan kepada pelajar di Australia yang hadir dan terpaksa mendengar ucapan panel yang terhad, bukan sebaliknya mendengar pandangan yang berbeza seperti tujuan asal sidang tersebut diadakan.

Mereka boleh menghantar isyarat kepada kedua-dua pihak, penganjur dan penaja dengan memboikot sidang kemuncak itu.
Walaupun penaja dan penganjur mungkin berasa kewajipan patuh kepada kepada kuasa tersebut, pelajar tidak mempunyai kewajipan itu dan berhak mendesak untuk mendengar segala-galanya dan bukan senarai panel yang dibersihkan.

Mungkin penceramah lain juga patut memboikot sidang atau mengambil pendirian menggesa supaya panel asal yang dijemput dibawa semula ke dalam sidang tersebut.
Rakyat Malaysia juga perlu menunjukkan rasa tidak senang ke atas sekatan yang lapuk tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah berkata sebelum ini berkata "era kerajaan mengetahui tentang segala-galanya" sudah berakhir.

Idea tersebut juga perlu diperluaskan kepada penganjur dan penaja di sidang pada 22 April ini – mereka tidak tahu apa yang terbaik untuk pelajar dan tiada sesiapa sepatutnya dihalang.
Ia adalah demi kepentingan penaja dan bukannya untuk orang ramai atau pengguna.
Tiada siapa yang tahu penganjur mana satu yang mempunyai kuasa veto itu untuk mengarahkan Masa.
Tetapi rakyat Malaysia perlu menghukum penaja ini kerana mereka melakukan kesilapan yang merugikan kepada masa depan negara.

Rakyat dan pelajar Malaysia berhak untuk mendengar pandangan sesiapa sahaja kerana keputusan di tangan mereka sama ada untuk mengikutnya ataupun tidak.
Bukan penganjur yang menganggap wang boleh menentukan siapa yang patut dan tidak bercakap di dalam sesuatu majlis. – 10 April, 2014. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment