Profesor Madya Datuk Dr
Asri Zainul Abidin meminta Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) memperincikan
fatwanya berhubung ucapan Rest in Peace (R.I.P) kepada bukan Islam agar
memberi pemahaman yang lebih jelas.
Bekas mufti Perlis itu berkata terdapat dua kategori yang perlu
diperhalusi oleh MFK, iaitu sama ada mendiang dalam kategori faham
tetapi menolak Islam secara terang-terangan atau kategori yang masih
belum menerima dakwah Islam.
“Ada dua keadaan di mana fatwa tersebut perlu diperincikan. Satu
keadaan apabila kita yakin bukan Islam itu menolak mesej Islam, iaitu
menolak Islam sebagai agama. Dia tahu tentang Islam dan dia menolaknya.
Persepsi Islam, RIP tidak patut dikatakan kepadanya.
“Kalau sekiranya dia seorang yang tidak tahu apa itu Islam atau tahu
mengenai Islam tetapi tidak jelas, mungkin kerana persepsi orang Islam
itu sendiri, sebagai Islam kita tidak katakan dia dihukum oleh Tuhan,”
katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
MFK dalam fatwanya mendakwa umat Islam tidak digalakkan untuk mengucap
RIP kepada seseorang bukan Islam kerana ia berunsur keagamaan yang
diambil daripada Kristian.
Katanya, umat Islam bagaimanapun dibolehkan untuk menyampaikan rasa
simpati dan takziah mereka kepada keluarga penganut bukan Islam selagi
ia tidak memberi implikasi keagamaan.
"Ia mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Tuhan seperti mana doa asal itu yang disebut dalam bahasa Latin.
Daripada sudut akidah Islam, seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan.
"Sekiranya ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu
agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang.
Sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah
harus," kata MFK.
Asri berkata di akhirat nanti, Allah hanya menilai akidah bagi golongan
yang datang kepadanya dengan mesej Islam yang jelas dan sebenar.
Katanya, seseorang itu hanya dapat digelar kafir sekiranya jelas mereka menolak mesej Islam yang benar dan jelas.
“Orang yang tidak tahu Islam sebenar, kita tidak boleh katakan dia ahli
neraka kerana Tuhan menyatakan ‘Kami tidak akan mengazab sehingga Tuhan
menghantar rasul’.
“Ertinya seseorang tidak akan menerima hukuman Tuhan di atas kesalahan
akidahnya sehinggalah dia mendapat mesej Islam yang jelas. Apabila dia
menolaknya baru dia akan menerima balasan di sisi Tuhan,” katanya.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu turut melihat bahawa RIP tidak
seharusnya menjadi isu di kalangan umat Islam kerana tiada jaminan
seseorang itu akan mendapat keamanan daripada Tuhan.
“Saya tidak katakan kita digalakkan ucap RIP. Itu tiada kepentingan. Apa yang boleh diucap adalah takziah kepada ahli keluarga.
“Orang bukan Islam hendak kata biarkan. Apabila kita ucapkan RIP macam
mana kita yakin dia ini 'in peace'? Kita tidak tahu. Kita tidak payah
kata. Tiada keperluan untuk itu,” katanya.
PAS berpandangan pemergian seorang negarawan seperti Karpal Singh selayaknya mendapat penghormatan dan pengiktirafan.
Pengarah Pusat Kajian dan Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata
ini adalah masanya untuk menghormati Karpal dan bukan menghamburkan
komen negatif kepada mendiang.
"Kita akan membangkitkan isu ini pada mesyuarat biro politik di Kuala
Lumpur, dan kita akan tetapkan pendirian kita," katanya ketika ditemui
pada majlis perhormatan mendiang Karpal di Pulau Pinang semalam.
Karpal meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi semalam
menerima banyak ucapan RIP daripada pengguna laman sosial.
Kenderaan Toyota Alphard yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah lori
seberat lima tan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung
di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan.
Karpal, 73, dan pembantunya Michael Cornelius, yang dalam perjalanan
dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, mati di tempat kejadian. – 19
April, 2014.. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment