Thursday, April 3, 2014

RM400 bilion untuk beli semula lebuh raya tidak munasabah, kata DAP

OLEH LEE SHI-IAN April 03, 2014
Pemimpin DAP, Tony Pua mempersoalkan jumlah bayaran yang terlalu tinggi perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat pemegang konsesi lebuh raya. Gambar fail.Pemimpin DAP, Tony Pua mempersoalkan jumlah bayaran yang terlalu tinggi perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat pemegang konsesi lebuh raya. Gambar fail. Bagaimana Putrajaya boleh mendapatkan jumlah yang melampau sehingga RM400 bilion sebagai kos membeli semula konsesi lebuh raya di Malaysia, tanya pemimpin DAP, hari ini.
Ketua Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, berkata kos pembinaan 26 lebuh raya bertol di Malaysia hanya berjumlah RM28.5 bilion.
“Lebuh raya paling mahal di Malaysia ialah Lebuhraya Utara-Selatan yang menelan kos pembinaan sebanyak RM5.95 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 Pua mempersoalkan bagaimana Putrajaya boleh mengeluarkan angka yang 14 kali lebih tinggi daripada jumlah kos membina 26 lebuh raya dalam negara.
“Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof pastinya berada dalam keadaan tidak betul ketika mendakwa kosnya akan mencecah RM400 bilion untuk mendapatkan semula semua lebuh raya bertol di negara ini.
“Adakah Putrajaya cuba memberi pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya untuk kerugian bagi keuntungan masa depan,” katanya.

Pua berkata, perjanjian konsesi lebuh raya dengan jelas menyatakan Putrajaya tidak perlu membayar pampasan berkenaan.
Beliau berkata, jika RM400 billion itu bertujuan memberi pampasan kepada pemegang konsesi untuk menampung kerugian pada masa depan, ia menewaskan tujuan asal pelaksanaan itu diambil pada awalnya.
“Lebih baik kerajaan biar sahaja pemegang konsesi mendapat keuntungan dalam tempoh 20 tahun lagi daripada memberi semua wang sekali gus,” katanya.

Pua berkata, kecuali Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang, semua perjanjian konsesi mempunyai klausa yang membenarkan Putrajaya untuk membeli semula konsesi berdasarkan kepada kos pembinaan dengan jaminan pemegang konsesi menerima pulangan tahunan sebanyak 12% bagi setiap tahun operasi terdahulu.
“Jadi, jika kita andaikan semua lebuh raya di Malaysia tidak mempunyai keuntungan langsung sejak beroperasi, maka kos beli balik akan hanya maksimum RM50 bilion sahaja.

“Ini adalah satu per lapan daripada anggaran RM400 bilion yang dibuat oleh Fadillah,” katanya.
Pua berkata, lebih-lebih pula kebanyak pemegang konsesi lebuh raya membuat keuntungan yang banyak melebih 12% tahunan sejak mereka mula beroperasi.
“Ini bermakna Putrajaya tidak perlu membayar pampasan untuk keuntungan yang tidak mencukupi ketika tahun beroperasi.
“Daripada berbincang mengenai pembelian balik, mungkin kerajaan patut fokus kepada lebuh raya yang membuat keuntungan tidak berpatutan, seperti Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP),” katanya.
Pua berkata, LDP mempunyai keuntungan tepat melebihi 40%, yang ditanggung oleh rakyat.

Semalam, Fadillah berkata di Parlimen, pengambilalihan itu boleh memberikan imej negatif terhadap Putrajaya di kalangan pelabur dan juga kesan buruk kepada pasaran modal, katanya.
“Berdasarkan kepada kajian oleh Unit Pengurusan Pencapaian dan Penyampaian (Pemandu), cadangan untuk mengambil alih semua lebuh raya akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar kos RM400 bilion,” kata Fadillah.

Pada penghujung 2012, Putrajaya perlu membayar RM2.8 bilion sebagai pampasan kepada pemegang konsesi, kata Fadilah dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Sepang daripada PAS, Mohamed Hanipa Maidin.
Putrajaya pada awalnya bercadang menaikkan kadar tol pada tahun ini di sebalik manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang berjanji untuk menurunkan kadar tol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata tahun lalu adalah mustahil untuk menghentikan kadar kenaikan tol itu berikutan perjanjian konsesi di antara kerajaan dan syarikat lebuh raya.
Bagaimanapun, kerajaan berlembut ketika pembangkang semakin marah dengan kenaikan harga dan pemotongan subsidi hingga menjadikan menteri Malaysia seperti bahan lawak.
Sebaliknya, kerajaan mengeluarkan RM400 juta kepada pelbagai pemegang konsesi. – 3 April, 2014. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment