KUALA LUMPUR:
Walaupun menerima bantahan pelbagai pihak termasuk pihak dalaman parti,
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tetap dengan
keputusan membentangkan rang undang-undang bagi menubuhkan Lembaga
Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) pada sidang Dewan Undangan Negeri
(DUN) Isnin ini.Menurut Khaled, enakmen baharu tersebut tidak melanggar konsep Raja Berpelembagaan yang digunakan di negara ini kerana akan dibacakan bersama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
“Insya-Allah… kita tengok Isnin ini. Dari segi sama ada ia melanggar konsep Raja Berpelembagaan, saya tidak fikir ia begitu.
“Seperti saya katakan, enakmen ini mesti dibaca bersama-sama Undang-undang Tubuh Negeri Johor di mana dalam undang-undang berkenaan menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh Tuanku adalah dengan nasihat Menteri Besar,” katanya seperti dilapor media tempatan semalam.
Bagaimanapun pandangan Khaled tidak dikongsi bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Dalam satu kenyataan media semalam, Muhammad menjelaskan, walaupun Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) mengakui mempunyai kuasa mutlak seumpama kuasa Pengerusi Jcorp, ia bukan alasan yang boleh diterima untuk meneruskan RUU LPHJ.
“Pengalaman peribadi saya di JCorp jelas membuktikan kuasa mutlak Menteri Besar selaku Pengerusi Jcorp pernah dikompromikan pemimpin politik negeri.
“Pengerusi Jcorp ketika itu, sekali pun berkuasa eksekutif penuh, gagal atau takut menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepadanya dan lebih berminat mematuhi sepenuhnya apa yang beliau katakan sebagai ‘Titah Sultan Johor’,” jelas beliau.
Sehubungan itu, RUU LPHJ ujarnya adalah cadangan yang tidak dapat diterima rakyat kerana bercanggah dengan Perlembagaan, juga satu duluan (precedent) pentadbiran yang berbahaya kerana ia pasti merosakkan kepentingan besar rakyat dan negara.
Media tempatan melaporkan bahawa Rang Undang-undang Enakmen LPHJ 2014 ini akan memberi kuasa kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Petikan daripada enakmen setebal 36 muka surat yang dinamakan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 menjelaskan lagi kebimbangan pelbagai pihak terhadap campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.
Antara peruntukan yang terkandung dalam rang undang-undang LPHJ 2014 adalah:
* LPHJ dipengerusikan oleh Menteri Besar dengan Ahli-ahli Lembaga boleh dibayar elaun seperti ditentukan Raja.
* Fungsi Lembaga adalah:
-
Memberi nasihat kepada Pihak
Berkuasa Negeri dengan dasar, cara dan langkah yang hendak diambil untuk
menggalak dan memudahkan pemajuan perumahan hartanah.
-
Membina, menyelenggara, membaiki,
memulih, mendiami semula dan menggunakan sebarang struktur, bangunan
atau kerja-kerja di dalam mana-mana rancangan perumahan atau hartanah.
-
Menetap dan melaksanakan dasar dan
panduan bagi memperuntukkan jenis-jenis perumahan dan kategori pembeli
di sebarang pemaju perumahan.
* Lembaga boleh menjalankan apa-apa fungsi lain, melaksanakan kuasa lain dan mentadbir serta membelanjakan apa-apa wang lain yang diperuntukkan kepadanya oleh kerajaan negeri.
* Lembaga perlu memberikan penyata, laporan akaun dan maklumat kepada Pihak Berkuasa Negeri berhubung dengan harta dan kegiatannya seperti diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri termasuk membentangkan sebarang cadangan, pelan berhubung sesuatu projek.
* Segala pelantikan Pengarah hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja.
* Lembaga hendaklah menerima pakai peraturan, kaedah, dasar dan pekeliling serta arahan yang dikeluarkan Kerajaan Negeri.
* Lembaga hendaklah dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya tiap-tiap satu tahun kewangan mengauditkan akaunnya dan menghantar kepada Raja dan Pihak Berkuasa negeri bersama-sama satu salinan.
* Raja atau Pihak Berkuasa Negeri boleh pada bila-bila masa mengarah orang tertentu yang dilantik olehnya untuk membuat penyiasatan terhadap buku, akaun dan urus niaga Lembaga.
* Lembaga hendaklah tidak lewat daripada 30 Jun setiap tahun kewangannya, menghantar penyata kepada raja dan pihak berkuasa negeri yang menyentuh kegiatan Lembaga pada tahun lepas.
* Raja berkuasa untuk mengarahkan Lembaga digulung dan dibubarkan.
Fasal 4(1) LPHJ menyenaraikan struktur Keanggotaan Lembaga yang terdiri daripada:
a) Menteri Besar sebagai Pengerusi.
b) Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi.
c) Lima orang ahli atas nama jawatan, dan mereka hendaklah orang orang yang pada masa itu memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri dan Pengarah Unit Peracangan Ekonomi Negeri.
d) Tidak lebih dari empat orang wakil dari apa apa perbadanan, agensi atau mana-mana orang yang akan membawa munfaat kepada Lembaga yang dilantik oleh Raja. - HARAKAHDAILY, 8/6/2014
No comments:
Post a Comment