Monday, July 14, 2014

Azizul Raheem tiba di KLIA dari Sweden petang esok

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin yang baru keluar dari penjara negara itu kerana didapati bersalah memukul anaknya, kembali ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira 5.30 petang esok.

Perkara itu disahkan sumber Wisma Putra kepada Bernama hari ini.

"Kepulangan ini telah dimaklumkan kepada ahli keluarga Azizul yang dijangka akan menyambutnya nanti," katanya.

Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara kerana memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010, dan menjalani hukuman tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas.

Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal bagi kesalahan itu.

Bagaimanapun, hukuman penjara itu dikurangkan dan masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, akan dibebaskan tiga bulan lagi.

Empat anak pasangan itu yang pada mulanya diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam kerana kes berkenaan, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di sini pada 30 Januari lepas.

Mereka pulang ke Malaysia dan kini dijaga oleh ibu saudara dan bapa saudara mereka di Kelantan. - Bernama

No comments:

Post a Comment