Tuesday, July 22, 2014

Hanya mampu beli sekilo beras sehari - Mazlan

SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat mula mengagihkan sumbangan mereka bagi program 'Ramadan datang lagi penoreh getah mohon simpati' yang dilancar 8 Jun lalu.

Menurut Pengerusinya Mazlan Aliman, sehingga hari ini beberapa tempat di Jerantut, Baling, Padang Rengas, Ulu Selangor dan beberapa destinasi telah menerima sumbangan daripada Lajnahnya.

"Projek ini bukan setakat bulan Ramadan sahaja dan ianya akan diteruskan lagi selepas hari raya nanti.

"Derita ini tidak akan berakhir selagi harga getah tidak naik. Dan nasib penoreh getah terus dihimpit kemiskinan," katanya.

Pihaknya juga turut memberi sumbangan berupa makanan dan pakaian bukan sahaja kepada peneroh bahkan disalurkan juga kepada kaum ibu tunggal, warga emas dan anak yatim.

Mazlan turut berterima kasih kepada para penyumbang sama ada individu dan syarikat korporat serta NGO bagi menjayakan program ini.

"Hasil sumbangan orang ramai ini juga kita salurkan kepada miskin bandar yang ramai tidak sedar mereka pun begitu terhimpit dengan kos kenaikan harga barang dan juga rumah sewa.

"Sangat gembira, tahun ini cukup banyak sumbangan yang diberikan oleh mereka yang bermurah hati dan prihatin dengan nasib golongan ini," katanya.

Kempen julung kali ini diadakan bagi melahirkan rasa simpati dan meringankan beban peneroh getah yang kini terhimpit ekoran harga getah merundum sehingga RM1.80 sekilogram.

Mereka akan mengumpul sumbangan orang ramai dan kemudian mengagihkannya kepada golongan sasar secara berperingkat.

Rombongan dari lajnah tanah PAS ini akan turun sendiri menyelami nasib warga penoreh getah yang kini sangat terhimpit kesan kejatuhan harga komoditi itu.

"Saya saksikan sendiri bagaimana kehidupan seharian para peneroh getah yang tidak mampu untuk membeli beras sekampit walaupun hanya lima kilogram sahaja.

"Apa yang menyedihkan, ada di kalangan mereka yang hanya mampu membeli sekilo beras tiap-tiap hari," katanya. - HARAKAHDAILY 22/7/2014

No comments:

Post a Comment