Sunday, August 31, 2014

Dari mana RM6 bilion untuk selamatkan MAS

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan sumber RM6 bilion yang diberikan Khazanah Nasional kepada Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bagi menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta agar kerajaan menjelaskan sumber kewangan tersebut agar diketahui oleh rakyat.

"RM6 bilion dari mana sumber tersebut diperolehi, kita mahu kerajaan perjelaskannya.

"Kita tidak mahu berlaku seperti sebelum ini Kumpulan Wang Simpanan Guru-guru (KWSG) yang menjadi mangsa. Kerajaan perlu telus dalam apa yang mereka lakukakan ini," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berharap walaupun kerajaan mempunyai usaha untuk memulihkan MAS, namun dalam memberikan suntikan modal itu, harus diperjelaskan kerana melibatkan wang rakyat.

Dalam pada itu beliau turut menggesa agar kerajaan mewujudkan Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh apa yang berlaku ke atas MAS.

Katanya, walaupun kerajaan memberi suntikan modal yang besar tetapi kelemahan masih belum diketahui yang hanya mengulangi kesilapan yang berlaku kepada MAS sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyifatkan, suntikan itu lebih berbentuk pelaburan di mana ia perlu dijana semula.

Menurut Najib, MAS mungkin memerlukan lebih daripada tiga tahun bagi pelan pemulihannya, namun akan ada pertumbuhan positif dalam tempoh berkenaan. - HARAKAHDAILY 31/8/2014

No comments:

Post a Comment