Tuesday, August 19, 2014

Krisis Selangor :Meneroka laluan alternatif, bukan U-turn... Terbaik !!!

SUHAIZAN KAIAT | .
17 Ogos 2014 yang lalu menjadi satu tarikh yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia bahkan antarabangsa. Bagi PAS, ia merupakan salah satu 'historical moment' dalam sejarah panjangnya di pentas politik tanah air.

Keputusan telahpun dicapai. Semua orang sudah tahu.

Namun apa yang penting bagi saya, dinamika yang berlaku dalam PAS sepanjang berinteraksi dengan isu ini adalah pengalaman yang amat berharga khususnya bagi saya sendiri yang baru sahaja diamanahkan sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Media pro UMNO - seperti kebiasaannya - terus menerus menggambarkan bahawa keputusan dibuat oleh PAS dalam mesyuarat 17hb yang lalu sebagai tidak 'gentleman'. PAS diwarnakan menerusi media-media mereka sebagai 'membuat U turn' demi mengikut telunjuk DAP. Mentera mereka bahawa PAS berjaya diperalat oleh Dato' Sri Anwar Ibrahim, itu sememangnya sudah pasti.

Jalan alternatif

Dalam hal ini, saya berpandangan bahawa PAS bukanlah membuat U-Turn khususnya apabila ada yang memetik kenyataan dikeluarkan oleh Presiden serta Majlis Syuro Ulama' sebelum ini yang ternyata kononnya tidak sejajar keputusan mesyuarat AJK PAS Pusat 17 Ogos.

Bagi saya, PAS telah mengambil jalan alternatif setelah jalan yang asalnya sudah rosak.
Jalan asal adalah menerima Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Asasnya adalah kemampuan beliau dalam mentadbir Selangor. Berita tentang kelemahan politik Khalid pada pandangan PAS masih bersifat dalaman parti dan ia boleh diperbaiki oleh partinya sendiri. Mengekalkannya dengan penambahbaikkan prestasi politik Khalid jauh lebih rendah risikonya berbanding mengugurkannya. Bahkan kepimpinan utama Pakatan Rakyat juga boleh memberikan cadangan, pandangan serta kritikan kepada PKR menerusi mesyuarat Majlis Presiden PR.

Namun, jalan yg dilalui PAS tidak seperti difikirkan pada awalnya. Masalah yang dihadapi Khalid seperti perbincangan dan pertimbangan panjang pucuk kepimpinan partinya sendiri telah mengakibatkan keahliannya sebagai anggota PKR digugurkan.

Nah, Khalid bukan lagi ahli PKR sekaligus beliau bukan lagi dari Pakatan Rakyat.

Dalam konteks ini, kita perlu sedar bahawa tahalluf siyasi PAS adalah dgn PKR dan DAP, bukan dengan batang tubuh Khalid!

Maka PAS mengambil jalan baru dengan menolak Khalid. Inilah yang saya sifatkan sebagai dinamika PAS dalam membuat sesuatu keputusan. Seperti harusnya sesuatu minuman itu diminum, menjadi terlarang sekiranya kondisi minuman itu bertukar menjadi minuman yang memabukkan.

Jalan baru PAS adalah menolak Khalid dari kerusi MB. Jalan baru ini memerlukan PAS menamakan penganti kepada kerusi MB. Walaubagaimanapun jalan baru PAS tetap ke hadapan bukan U-turn seperti yang digambarkan oleh media pro-Umno.

Dua nama, satu alternatif

Tok Guru Presiden PAS mempunyai hubungan agak baik dengan Istana Selangor. Pada Syawal keempat, beliau dititah mengadap Sultan. Hasilnya, Presiden membuat keputusan bahawa satu nama alternatif perlu dikemukakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan istana dan Dato' Seri Wan Azizah.

Atas pertimbangan-pertimbangan tersebut, PAS mengambil jalan tengah dengan menamakan Azmin Ali (selepas Wan Azizah) sebagai alternatif.

PAS boleh sahaja mengemukakan nama dari ahli partinya sendiri sebagai alternatif kepada Wan Azizah. Namun atas semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat, keputusan itu tidak mungkin dibuat oleh PAS.

PAS juga penuh sabar ditohmah khianat terhadap PR kerana mengekalkan empat orang exco bersama Menteri Besar bebas. Niat PAS adalah baik untuk menyelamatkan kerajaan Selangor sebelum Menteri Besar yang baru dilantik. Minima exco dalam kerajaan Selangor adalah empat orang maka PAS menggalas peranan ini.

Atas semangat inilah, saya dengan penuh rendah diri menyeru rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat yang mendokong serta menyokong Pakatan Rakyat, usah ragu dan curiga dengan PAS.

Kita akan mempertahankan koalasi ini demi berhadapan Umno BN untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia
- HARAKAHDAILY 19/8/2014

No comments:

Post a Comment