Saturday, August 30, 2014

PM: Pemulihan MAS bukan 'bail out'

29/8/14

 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melihat pelan pemulihan bernilai RM6 bilion ke atas MAS yang diumumkan Khazanah Nasional hari ini sebagai satu bentuk pelaburan dan bukan satu pelan menyelamat (bail out) semata-mata.

Tegasnya, ini kerana Khazanah akan memastikan MAS kembali menjadi organisasi yang mapan dan pulangan akan diperolehi ke atas setiap sen daripada RM6 bilion tersebut.

"Tidak, ia bukan satu pelan menyelamat. Ia satu pelan menyelamat jika kita guna orang ramai untuk membelinya daripada orang lain.

"Itu baru dianggap menyelamat tetapi dalam kes ini wang dilaburkan untuk menjadikan MAS satu organisasi mapan dan berterusan," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno petang ini.

"Jadi ini satu pelaburan, bukan pelan menyelamat.

"Ia satu pelaburan dari Khazanah," katanya lagi.

Khazanah hari ini mengumumkan suntikan sebanyak RM6 bilion yang mensasar untuk mengembalikan keuntungan MAS dalam masa tiga tahun menjelang 2017.

Rancangan itu termasuk pembentukan satu syarikat baru untuk mengambil alih aset dan perniagaan syarikat lama.

Ia juga akan melibatkan pengurangan sebanyak 30 peratus tenaga kerja yang meliputi 6,000 orang pekerja sedia ada.

"Pemulihan sepenuhnya mungkin akan mengambil masa lebih lama dari tiga tahun namun dengan izin Tuhan dalam masa tiga tahun kita akan lihat pemulihan positif MAS," kata Najib mengulas pelan tersebut.

Menurut Najib lagi, pelan itu turut mengambil kira prinsip asas untuk terus mengekalkan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional.

Pada masa sama, ia juga perlu memastikan MAS tekal sebagai satu operasi komersial yang memberikan pulangan.

Mengulas pengurangan tenaga kerja MAS kelak, Najib berkata beliau berpesan kepada pengurusan MAS agar langkah itu dilakukan dengan penuh rasa "kemanusiaan dan belas kasihan".

"Misalnya kita boleh sediakan alternatif pekerjaan untuk mereka.

"Kita boleh buat upskilling (peningkatan kemahiran) untuk mereka, dan mungkin ada juga yang hendak voluntary separation (berhenti secara sukarela) dan sebagainya.

"Inilah antara prinsip-prinsip yang kita telah tentukan dalam penyusunan semula MAS," katanya.Malaysiakini

No comments:

Post a Comment