24 Sep 2014
Bayangkan pelajar sekolah rendah yang perlu bangun dinihari, lama sebelum matahari terbit.
Kemudian dengan berjalan kaki mereka merentasi hutan, mendaki bukit,
melalui beberapa ladang kelapa sawit dan menyeberangi beberapa sungai
menerusi jambatan gantung untuk sampai ke sebuah tempat perhimpunan
utama di sebuah sungai yang besar.
Selepas
itu mereka perlu pula menaiki bot ke jeti terdekat sebelum berjalan
merentasi beberapa lagi ladang kelapa sawit untuk ke sekolah setiap
hari.
Inilah yang dihadapi pelajar dari enam kampung di Pitas, Kudat di Sabah
kerana jalan yang dijanjikan 15 tahun lalu masih tidak terbina.
Bosan dengan janji kosong, enam penduduk kampung nekad nekad
mengeluarkan simpanan mereka sendiri untuk membina sebatang jalan balak.
Projek membina jalan sepanjang 7.5 kilometer itu turut meminta sokongan
semangat, publisiti dan derma wang tunai bagi membantu kira-kira 3,000
penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan pemungut
hasil hutan keluar dari kepompong kemiskinan.
Laman web mereka www.pitasroad.org
menyatakan jalan balak tersebut akan menghubungkan enam kampung iaitu –
Kampung Dowokon, Kampung Mandamai, Kampung Kobon, Kampung Perupok,
Kampung Maliau Pusat and Kampung Maliau Layung – ke pekan Pitas.
Keenam
mereka kini sedang galak mendapatkan sokongan dari orang ramai kerana
mempunyai peralatan dan tenaga yang amat terbatas, selain tiada
pengalaman melakukan pembinaan tersebut .
Menurut laman web itu, penduduk kampung memerlukan kira-kira RM85,000
lagi selepas menggunakan wang simpanan mereka sebanyak RM5,000
menyelenggara sebuah mesin pengorek terpakai, dua buah gergaji berantai
dan menyewa sebuah mesin jengkaut berharga RM150 setiap hari bagi
membina jalan tersebut.
Akhbar The Star Sabtu lalu melaporkan seorang penduduk Maklin
Masiau berkata kerajaan negeri Sabah telah berjanji membina jalan
melalui kampung tersebut pada tahun 1999.
"Saya fikir kesusahan dan kesengsaraan penduduk kampung akan berakhir
dan keadaan akan menjadi lebih baik," kata beliau sambil menunjukkan
laporan akhbar Daily Express pada 5 Ogos 1999 yang melaporkan "berita baik" tersebut.
Beliau
berkata kerajaan memulakan pembinaan Jalan Pitas Pandan Pinapak pada
tahun 2000 sebelum berhenti tanpa sebab selepas membina jalan batu
sepanjang dua kilometer.
Penduduk enam kampung tersebut kini hanya mengharapkan Sungai Bengkoka
yang bermasalah untuk dilalui sekiranya paras air naik atau ketika musim
hujan.
Mereka yang mahu membantu boleh menghubungi komuniti tersebut di emel mereka pgks7@yahoo.com.my atau ikuti perkembangan lanjut di laman Facebook mereka di https://www.facebook.com/ pitasroad .
Laman kempen itu menggunakan slogan “Orang kampung mau bikin jalan raya”.
No comments:
Post a Comment