Wan Bukhari Wan Mohamad 
  •  Wan Bukhari Wan Mohamad
KUALA TERENGGANU – Mohamed Azmin Ali diyakini mampu menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Selangor baharu dan menguruskan pentadbiran di kerusi panas itu lebih baik daripada sebelumnya.
Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Mohamad berkata, Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa disifatkan sebagai pejuang politik dan seorang yang istiqamah dalam perjuangan parti.

Menurutnya, apa yang diperoleh Azmin itu merupakan satu pencapaian baharu dalam karier politik Timbalan Presiden PKR itu.

“Beliau sentiasa bersama-sama parti, membawa parti ke depan walaupun terpaksa berdepan dengan sepak terajang politik termasuk diserang dengan isu peribadi tetapi beliau tolak semuanya ke tepi. Pelantikan beliau juga telah direstui semua pihak.

“Jadi, apa yang diperoleh beliau itu adalah kurniaan daripada ALLAH. Ganjaran ALLAH kepada pejuang,” katanya.

Azmin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Majlis Angkat Sumpah di Balai Rong Seri, Istana Alam Shah pada 23 September lalu.

Mengulas lanjut, Wan Bukhari turut meminta generasi baru yang terlibat dalam politik mengikut jejak pemimpin-pemimpin PKR terdahulu yang berjuang bersungguh-sungguh dalam merealisasikan matlamat parti.

Beliau turut meminta mana-mana pihak tidak perlu terlalu terburu-buru mengejar jawatan kerana usaha ikhlas dan berterusan sudah tentu mendapat ganjaran daripada ALLAH.

“Kalau kita kerja kuat, ada dua yang menilai iaitu ALLAH dan manusia termasuk ahli-ahli, rakyat dan penyokong parti. Penilaian ini akan menjadikan kita kuat dengan pertolongan ALLAH,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap krisis yang berlaku di Selangor sebelum ini kembali pulih seperti biasa berikutan pelantikan Mohamed Azmin oleh istana.

“Kita kena berusaha dan perlu kembali kepada asas. Dalam politik ini kadang-kadang berlaku ibarat kereta api yang tergelincir dari landasan. Baiki semula dan letakkan di landasan yang  betul supaya ia bergerak lancar.

“Bagi pihak PKR Terengganu, kita turut mengucapkan tahniah kepada Azmin atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15,” katanya.