Mohamed Nazri (kiri) melihat perahu penambang yang dipamerkan di Istana Jahar, semalam.  
  • Mohamed Nazri (kiri) melihat perahu penambang yang dipamerkan di Istana Jahar, semalam.
KOTA BHARU - Kelantan bakal menarik lebih ramai pelancong luar selepas negeri ini terpilih untuk difilemkan dalam dokumentari National Geographic, sekali gus menjadi platform memperkenalkan pelbagai tempat bersejarah dan budaya masyarakat ke peringkat dunia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sebelum ini dalam perjumpaannya bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, beliau berjanji mahu memperkenalkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu ke peringkat dunia.

“Maka janji itu telah ditunaikan kali ini setelah kru National Geographic turun ke Kelantan dan mengadakan sesi penggambaran di beberapa tempat menarik di Kelantan termasuk di Istana Jahar, sebuah mercu tanda di Kelantan.

“Harapan kami semoga dengan paparan dokumentari ini akan memperkenalkan Kelantan ke peringkat lebih jauh dan turut menjadi pilihan pelancong luar, dan semakin ramai berminat untuk datang serta melihat sendiri keunikan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyertai penggambaran dokumentari tersebut di Istana Jahar,  di Jalan Sultan, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abdul  Rahman.
Mohamed Nazri berkata, beliau juga turut dipilih sebagai wakil hos untuk memperkenalkan Kelantan melalui pakaian petani dengan memakai kain dililit di atas kepala, selain mengenakan kain sarung dan seluar panjang serta berbaju T bagi melambangkan kehidupan masyarakat di negeri ini.

“Saya juga dipilih sebagai hos jemputan  memperkenalkan pelbagai barangan tradisional dan klasik Kelantan dalam dokumentari tersebut.

“Insya-ALLAH, dokumentari ini akan ditayangkan sedikit masa lagi. Ia tentunya beri peluang kepada negara luar yang sebelum ini tidak mengenali Malaysia dan Kelantan untuk memahami serta menyelami budaya Melayu Kelantan yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas, malah mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain,” katanya.
Sementara itu, Md Anizam amat berterima kasih atas usaha Mohamed Nazri memperkenalkan Kelantan ke peringkat dunia.

“Kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri amatlah diharapkan dalam usaha membangunkan Kelantan," katanya.