Wednesday, October 22, 2014

Guna MyKad isi minyak tahun hadapan?

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui perlaksanaan rasionalisasi subsidi petrol perlu diperbetul supaya golongan layak tetap mendapat manfaat.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan mungkin menggunakan mekanisma baharu yang akan mengambil kira pendapatan individu dan ia dijangka akan dilaksanakan bermula Jun tahun hadapan.

"Kita dapati subsidi petrol tersasar, jadi ia perlu diperbetulkan. Susulan itu, kerajaan berkemungkinan besar merasionalisasikan subsidi petrol pada Jun tahun depan.

"Jadi yang mana layak dapat subsidi, yang tak layak tak diberi subsidi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurutnya, pengguna mungkin perlu membeli petrol dengan menggunakan MyKad dan jumlah pendapatan akan direkod terlebih dahulu bagi menentukan sama ada pembeli layak atau tidak mendapat subsidi.

"Perincian sama ada guna MyKad bagi pembelian petrol... tapi ia boleh berubah kerana masih ada tempoh lapan bulan lagi sebelum dilaksanakan," katanya sambil menambah ianya masih di peringkat kajian.

Ahmad Maslan berkata, rakyat berpendapatan RM4,000 ke bawah mungkin mendapat subsidi petrol tersebut.

Bagaimanapun bagi mereka yang berpendapatan antara RM4,000 hingga RM12,000 keputusan sama ada mereka layak mendapat subsidi atau tidak masih belum diputuskan. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

No comments:

Post a Comment