Wednesday, October 22, 2014

Jangan tertipu dakwaan ejen rumah kos rendah

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk urusan jual beli rumah kos rendah di negeri ini, kata Iskandar Abdul Samad.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri itu menjelaskan demikian ekoran terdapat laporan bahawa wujudnya ejen yang mendakwa boleh menawarkan rumah kos rendah di bawah harga pasaran di Lembah Klang termasuk Selangor.

Ejen tersebut berjanji boleh memasukkan nama pembeli sekiranya menerima bayaran tertentu.

Laporan ini juga telah tersiar di muka hadapan akhbar Harian Metro bertarikh 21 Oktober 2014 bertajuk ‘Apartment Airmata: Keluarga miskin ditipu rumah RM38,000’.

"Pihak kami ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk urusan jual beli rumah kos rendah di negeri ini," jelas Iskandar dalam satu kenyataan.

Menurutnya, permohonan membeli rumah itu adalah hanya melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Dengan itu, ujarnya pihak pembeli sewajarnya tidak tertipu dengan dakwaan penjualan rumah kos rendah oleh pihak yang tidak dikenali selain LPHS.

Beliau berkata, harga rumah kos rendah yang ditawarkan ialah RM42,000 dan permohonan dibuka kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di Selangor berumur 18 tahun ke atas.

Syarat-syarat lain, jelasnya ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 bagi pemohon yang belum memiliki rumah.

Sebarang pertanyaan tentang permohonan rumah kos rendah dan rumah mampu milik (Rumah Selangorku) bolehlah menghubungi talian 03-5544 7950 atau layari laman rasmi LPHS di http://lphs.selangor.gov.my. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

No comments:

Post a Comment