Friday, October 17, 2014

Kes Anwar: PKR bawa ke parlimen Australia

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Sekumpulan deligasi PKR kini berada di Australia dalam misi memberi maklumbalas kepada ahli-ahli Parlimen Australia mengenai perkembangan politik terkini di Malaysia terutamanya berhubung kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha PKR Rafizi Ramli berkata, deligasi yang terdiri dari enam orang termasuk beliau itu akan berada di sana selama seminggu dan akan menyertai siri forum di beberapa bandar negara itu yang dianjurkan mahasiswa Malaysia bernama “Malaysian Progressives”.

Selain beliau, lima lagi adalah Nik Nazmi Nik Ahmad (Exco Selangor), Sim Tze Tzin (MP Bayan Baru), Wong Chen (MP Kelana Jaya), Lee Chean Chung (Adun Semambu) dan Melissa Sasidaran (Exco AMK).

"Selain dari perjumpaan dengan mahasiswa dan masyarakat Malaysia di bandar-bandar tersebut, jadual penuh lawatan kerja delegasi  PKR juga melibatkan perjumpaan dengan ahli politik dan badan hak asasi manusia.

Ia termasuk perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen Australia dan ahli Parlimen Australia Selatan dan perbincangan tertutup dengan ahli-ahli akademik Australian National University (ANU).

Selain itu, mereka juga akan berdialog dengan ahli-ahli Parlimen dan senator-senator Australia dan akan memberi keterangan mengenai perkembangan terkini di Malaysia ke Jawatankuasa Pilihan Hal Ehwal Luar dan Hak Asasi Manusia.

Mereka juga akan mengadakan perjumpaan dengan badan-badan hak asasi manusia iaitu Human Rights Watch, Amnesty International dan Australian Lawyers for Human Rights

"Saya yakin rangka lawatan kerja ini akan memberi gambaran sebenar mengenai tindakan Barisan Nasional yang menggunakan undang-undang untuk menekan lawan politik.

"Ia juga kena pada masanya bila lebih ramai mahasiswa Malaysia di luar negara semakin berani tampil ke hadapan untuk membawa diskusi-diskusi berhubung perkembangan politik tanahair dari kaca mata yang lebih progresif," katanya sambil menambah lawatan serupa akan diteruskan juga ke negara-negara lain. - HARAKAHDAILY 17/10/2014


No comments:

Post a Comment