Thursday, October 2, 2014

Minyak: Mustahil kerajaan mampu kawal harga barang

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia (PPM) melahirkan rasa kesal dan kecewa di atas sikap kerajaan Malaysia yang menetapkan keputusan menaikkan harga minyak petrol RON95 sebanyak RM0.20 sen dan diesel mulai hari ini.

Kenaikan ini menjadikan harga petrol RON95 RM2.30 seliter sementara diesel dijual pada harga RM2.20.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata apa yang mengecewakan adalah tindakan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel dalam keadaan tergesa-gesa tanpa notis awal kepada rakyat sehingga timbul suasana panik dan kelam kabut untuk mengisi minyak sebelum jam 12.00 malam tadi.

"Apakah tidak ada ruang buat rakyat memberikan pandangan balas serta cadangan bagi membantu kerajaan menampung perbelanjaan negara?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Soalnya lagi, apakah pemikir-pemikir negara sudah kekeringan idea sehingga mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impak dan kesan ke atas rakyat.

"Bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak tetapi rakyat tetap dibebankan dengan kenaikan minyak?" ujarnya.

Tambahnya, PPM melihat, langkah kerajaan menambahkan kadar pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 adalah sekadar 'melepaskan batuk di tangga' kerana ia sekadar bantuan jangka pendek buat rakyat.

Yang pastinya, kata beliau rakyat akan merana dalam tempoh jangka panjang kemudiannya.

"Harga minyak adalah domino buat harga barang keperluan lain. Jika harga minyak naik bererti harga barangan lain akan turut naik," katanya.

Menurutnya, mustahil kerajaan mampu mengawal kenaikan harga barang keperluan kerana sebelum ini pun harga barang tetap naik melambung walaupun telah diberi jaminan penguatkuasaan dan pemantauan ketat kerajaan terhadap peniaga dan pembekal.

"Nampaknya rakyat tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa lebih mengikat perut, bekerja lebih masa, mencari sumber pendapatan tambahan serta pekerjaan tambahan bagi menampung kehidupan sekeluarga," ujarnya lagi.

Beliau menambah, rakyat berpendapatan kecil adalah golongan terbesar bakal menerima kesan.

"Marilah kita sama-sama menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak ini," katanya. - HARAKAHDAILY 2/10/2014

No comments:

Post a Comment