Wednesday, October 22, 2014

P'raya kecil bukan ukuran Umno Kelantan kuat

ASLANI M | .
KOTA BHARU: Pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor pada 25 September lepas dianggap tidak boleh dijadikan kayu ukur bagi melihat kekuatan sebenar Umno di Kelantan.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, petunjuk PRK tidak sama dengan apa yang berlaku semasa pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun kata beliau PRK Pengkalan Kubor membolehkan PAS Kelantan mendapat maklumat terkini mengenai situasi politik di negeri ini.

“Kita dapat mengenali sikap sebenar pengundi di Pengkalan Kubor, biar pun kita dapat lihat dalam konteks PRK tidak sama dengan PRU.

“Apa pun ia merupakan satu perkara penting bagi kita sebagai orang politik. Apa yang berlaku itu memberi mesej penting,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada PRK tersebut BN berjaya mempertahankan kerusi Pengkalan Kubor apabila calonnya, Mat Razi Mat Ail mendapat majoriti 2,635 undi mengatasi calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

BN menguasai Dun Pengkalan Kubor sejak PRU 2004 melalui Datuk Noor Zahidi Omar.

Baru-baru ini Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kejayaan BN pada PRK Pengkalan Kubor harus dikaji bagi menentukan kejayaan berterusan parti berkenaan.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, PAS perlu membuat beberapa persiapan bagi menghadapi PRU akan datang.

“Kita ambil isyarat-isyarat yang dikesan daripada kelemahan-kelemahan yang berlaku. Perkara itu akan kita terjemahkan dalam jawatankuasa post mortem yang telah diwujudkan.

“Mereka akan merumuskan secara terperinci bagi melihat faktor-faktor kekalahan yang sebenar.

“Ini memang memberi cabaran kepada saya lebih-lebih lagi sebagai Yang Dipertua PAS kawasan Tumpat,” ujarnya.

Menurutnya juga PAS Kelantan perlu mengambil langkah sebaik mungkin dengan menyusun strategi-strategi baru yang dikenal pasti daripada PRK terbabit. - HARAKAHDAILY 22/10/2014

No comments:

Post a Comment