21 Nov 2014 Malaysiakini
Kira-kira 59,590 pendatang asing tanpa
izin (PATI) memanfaatkan tawaran Program Serah Diri Sukarela untuk
pulang ke negara asal masing-masing sejak ia dilaksanakan pada Julai
lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata pihaknya
menjangka lebih ramai PATI akan menyerah diri sebelum program itu tamat
pada 31 Disember ini.
"Selepas program tamat, kita tidak akan bertolak ansur lagi dan tindakan
tegas akan dikenakan terhadap PATI dan majikan yang melindungi mereka,"
katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil
Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Semenanjung di Putrajaya
semalam.
Menerusi program itu, yang juga dikenali sebagai 3+1, PATI yang
menyerah diri secara sukarela akan dikenakan bayaran kompaun RM300 dan
RM100 untuk pas khas.
Mustafa berkata unit risikan Imigresen juga mengenal pasti tempat
persembunyian PATI dan gerakan menggempur lokasi berkenaan akan
dilaksanakan bila-bila masa termasuk di Cameron Highlands.
Beliau berkata depot-depot tahanan di seluruh negara juga mampu
menampung dan menempatkan PATI sebelum mereka dihantar pulang ke negara
asal masing-masing.
Mustafa berkata statistik daripada Januari hingga 19 November lepas
menunjukkan seramai 27,082 PATI dan 462 majikan ditahan atas pelbagai
kesalahan menerusi 4,922 operasi di seluruh negara.
"Angka itu menunjukkan jumlah PATI yang menyerah diri adalah lebih
ramai, dan sekali gus boleh menjimatkan wang negara sebanyak RM2 juta
sebulan untuk pengurusan mereka di depot tahanan di seluruh negara,"
katanya.
Sementara itu, Mustafa berkata Jabatan Imigresen bercadang mewujudkan
pejabat cawangannya di Cameron Highlands untuk memudahkan pengurusan
pekerja asing di kawasan berkenaan.
"Perkara itu akan diusulkan kepada pihak atasan secepat mungkin untuk mendapatkan kelulusan," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment