Saturday, November 1, 2014

Keuntungan bersih TNB 2013 cecah RM6.4b

1 Nov 2014  Malaysiakini
Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Ogos, 2014, meningkat kepada RM6.4 bilion daripada RM5.4 bilion dalam tahun kewangan lepas.

Hasil meningkat kepada RM42.79 bilion daripada RM37.13 bilion sebelumnya, kata syarikat utiliti nasional itu kepada Bursa Malaysia hari ini.
  
TNB berkata kenaikan keuntungan bersih itu adalah hasil daripada pengurangan kadar cukai korporat dan peruntukan masuk kira semula bagi sebuah anak syarikat yang merupakan perkara tidak berulang, yang dimasuk kira ke dalam Tahun Kewangan 2014.
  
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir Azman Mohd berkata TNB melabur perbelanjaan modal yang besar sebanyak RM10 bilion berbanding RM8.5 bilion tahun lepas.
  
"Daripada RM10 bilion perbelanjaan modal itu, RM4.9 bilion adalah bagi penyenggaraan dan penambahbaikan sistem bagi memastikan sistem yang cekap, selamat dan terjamin," katanya pada taklimat bagi mengumumkan keputusan kewangan syarikat itu di ibunegara semalam.

Pelaburan dalam penyenggaraan dan penambahbaikan sistem telah menunjukkan hasil seperti yang dibuktikan dalam Indeks Purata Pengagihan Gangguan Sistem (SAIDI) yang paling rendah dicatatkan tahun ini. Ia mengesan purata tempoh gangguan dalam minit yang dialami oleh pelanggan setahun.
  
Beliau berkata TNB juga melabur sebanyak RM4.4 bilion bagi pembinaan stesen jana kuasa baru dengan jumlah kapasiti 3,700 megawatt (MW) bagi menampung keperluan kapasiti masa depan.
  
Azman berkata bagi Tahun Kewangan 2014, kos penjanaan yang membentuk 64.8 peratus daripada jumlah kos operasi, meningkat sebanyak 17.6 peratus.

"Ini, bagaimanapun, diimbangi sebahagiannya oleh kenaikan 15.2 peratus dalam hasil kumpulan, terutamanya daripada pelarasan tarif yang berkuat kuasa Januari 2014," katanya.
  
Beliau berkata semasa tahun itu, kumpulan membuat penilaian nilai pelaburan dalam Liberty Power berdasarkan kepada keperluan standard perakaunan, dan membawa kepada peruntukan masuk kira semula kepada kira-kira RM0.3 bilion.

"Ini menyumbang sebahagiannya kepada peningkatan keuntungan operasi sebanyak 21.6 peratus kepada RM7.2 bilion berbanding RM5.9 bilion sebelumnya.

"Pengurangan kadar cukai korporat yang dicatatkan dalam Tahun Kewangan 2014 membantu menyumbang lagi kepada keuntungan bersih tinggi itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berkata dalam tahun kewangan ini pertumbuhan permintaan di Semenanjung Malaysia rendah sedikit berbanding tahun lepas disebabkan terutamanya penggunaan rendah oleh sektor besi dan keluli.
 
Lembaga Pengarah menjangka prospek kumpulan bagi Tahun Kewangan 2015 kekal stabil.

- Bernama
 

No comments:

Post a Comment