Monday, November 24, 2014

Pertimbang Dewan Rakyat desak mansuh Akta Hasutan

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia boleh mempertimbangkan agar petisyen memohon Dewan Rakyat mendesak kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dibacakan.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) yang membawa petisyen itu berkata alasan Speaker kerana petisyen yang ditandatangani 3,005 orang tidak lengkap adalah tidak adil.

"Perkara ini pun sedang dibincangkan sebab itu kita buat petisyen. Kerajaan boleh ambil berat bahawa rakyat jelata ingin akta ini dimansuhkan," katanya dalam sidang media di lobi parlimen.

Malah beliau mengakui petisyen itu dibangkitkan dalam parlimen bukan untuk peribadi tetapi untuk publisiti isu akta tersebut bahawa ia penting untuk mengubah lanskap politik negara.

Sivarasa Rasiah (PKR-Subang) berkata, Speaker bersikap tidak adil kerana mengeluarkan kenyataan bahawa Khalid seolah-olah mencari publisiti.

"Bila Speaker bagi gambaran seperti ini, ia tidak adil kepada MP yang ada. Ini adalah tugas kita. Sepatutnya tarik balik serta merta macam ada bias. Tidak adil bagi khalid.

"Kita tahu ia tidak boleh dibahaskan paling tidak ia boleh dibacakan. Apa salahnya Speaker bagi kelonggaran untuk dibacakan," katanya.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menolak bahawa usul itu dibangkitkan bukan kerana mereka dalam kalangan Pakatan Rakyat yang menjadi mangsa akta itu.

"Sebaliknya kita tidak mahu anak-anak kita dan generasi akan datang menjadi mangsa seperti kita," katanya di dalam sidang media yang sama.

Terdahulu, Tan Sri Pandikar menolak petisyen yang ditandatangani seramai 3,005 orang membantah Akta Hasutan yang dibawa oleh Khalid dengan alasan petisyen itu tidak lengkap nama dan nombor Mykad serta ia terlepas pandang.

Malah Pandikar turut menegaskan Akta Hasutan yang dibangkitkan itu sedang dalam pertimbangan kerajaan untuk dihapuskan. - HARAKAHDAILY 24/11/2014

No comments:

Post a Comment