Friday, November 21, 2014

Polis siasat kes bakar al-Quran di Alor Setar

20 Nov 2014  Malaysiakini 
Pihak polis akan menyiasat laporan berhubung beberapa cebisan helaian al-Quran dipercayai dibakar di dalam tong di sebuah medan selera berhampiran Pasar Besar di Alor Setar.
 
Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu pada pukul 10 pagi tadi sebelum menghantar anggota ke tempat kejadian yang terletak berhampiran sebuah tokong dan menemui beberapa cebisan kertas yang dipercayai Al-Quran yang telah dibakar.
 
"Kita syaki kemungkinan orang yang melakukan perkara ini mengalami masalah mental tetapi siasatan masih dijalankan. Diharapkan pihak di luar sana tidak membesar-besarkan isu ini kerana bimbang akan berlaku perselisihan faham antara kaum.
 
"Sekiranya ia dilakukan atas niat khianat, kita akan ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan perpecahan harmoni dan perpaduan, rasa tidak puas hati dan prejudis berdasarkan agama yang boleh disabitkan dengan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun," katanya kepada pemberita.
 
Beliau berharap agar mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil memberi keterangan.
 
Pada mulanya seorang peniaga mendapat tahu mengenai perkara itu setelah dimaklumkan seorang individu lain sebelum beliau membuat laporan polis.

Sementara itu, seorang peniaga Mohd Fauzi Shariff, 53, terkejut selepas menemui beberapa cebisan helaian al-Quran yang dipercayai dibakar dalam sebuah tong aluminium di sebuah medan selera berdekatan Pasar Besar Alor Setar.
 
Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang lelaki berusia 30-an yang tidak dikenalinya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
 
Beliau berkata beliau dibawa lelaki tersebut ke tempat itu bagi melihat sendiri cebisan Al-Quran di dalam tong tersebut sebelum beliau melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan Jabatan Agama Islam.
 
"Saya lihat ada cebisan al-Quran di atas penutup tong aluminium yang dijadikan tempat membakar kertas dan bila saya buka penutup tong itu, saya nampak ada lagi beberapa cebisan di dalam tong yang dipenuhi abu.
 
"Masa saya buka tong apinya sudah padam, mungkin ia dibakar sebelum itu," katanya kepada pemberita.
 
Mohd Fauzi berkata beliau tidak sempat bertanyakan lelaki itu bagaimana dia mengetahui perkara tersebut kerana lelaki berkenaan terus berlalu selepas membawanya ke situ.
 
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid meminta pihak polis menjalankan siasatan mengenai perkara itu.
 
"Saya kecewa al-Quran diperlaku sebegitu rupa sedangkan orang Islam mempunyai kaedah yang betul untuk melupuskan Al-Quran," katanya ketika dihubungi.
 
Sementara itu Zakaria berkata pihaknya masih menyiasat berhubung dakwaan bahawa empat anggota polis terbabit dalam kes samun ke atas seorang warga asing di Kampung Gelong, Jitra pada Ahad lalu.
 
"Kes masih dalam siasatan polis dan sekiranya anggota polis berkenaan didapati bersalah, kita akan ambil tindakan tegas dan tidak akan membiar dan melindungi mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.
 
Seorang wanita Myanmar telah membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya disamun empat lelaki yang mengaku sebagai anggota polis yang telah mengambil rantai leher, telefon bimbit dan wang tunainya berjumlah RM800.
 
- Bernama

No comments:

Post a Comment