KUALA LUMPUR - Proses peremajaan parti memerlukan pemimpin pelapis yang berani, tidak cepat melatah, bersifat terbuka dan sentiasa ingin belajar untuk menambah pengetahuan selok-belok politik.
  
Wakil Umno Pahang Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah berkata golongan pelapis perlu mempunyai ciri-ciri berkenaan kerana mereka akan menghadapi suasana politik negara yang semakin mencabar.
  
"Anak-anak muda belum pernah merasai pahit getir perjuangan dan 'sepak terajang' politik. Mereka ini perlu dibimbing melalui proses pembelajaran berterusan.
  
"Jangan cepat melatah, jangan jadi pengecut. Politik ini ada seni yang perlu dan sentiasa dipelajari dari semasa ke semasa," katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
  
Beliau berkata, agenda peremajaan parti bukanlah sekadar bermaksud menukar atau mengganti kepimpinan sedia ada secara keseluruhannya sebaliknya dilakukan bagi mengembalikan maruah serta menjamin kelangsungan perjuangan parti pada masa depan.
  
"Anak-anak muda perlu tunjuk semangat tinggi. Kita nak tengok pemimpin pelapis yang dinamik, berkarisma serta lantang bersuara dan berjuang dalam satu saf bersama 'orang lama'," katanya. - Bernama