Thursday, December 25, 2014

Jangan hanya fokus undi Melayu

ABD SHUKUR HARUN | .
SEKIRANYA ada pemikiran di kalangan pendukung PAS bahawa PAS perlu menumpukan perhatian kepada pengundi Melayu saja, atau kawasan majoriti Melayu untuk menang, maka pemikiran politik seperti itu sangat naïf dan ketinggalan zaman.

Ini kerana ia hanya merugikan PAS sendiri dan tidak menolong usaha memperkukuh Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama dalam empat kali muktamar tahunan PAS sebelum ini.

Keadaan ini berasaskan realiti demografi pengundi di negara ini yang taburannya pelbagai, di mana negeri di Pantai Timur – Terengganu dan Kelantan – jumlah pengundi Melayunya besar. Tetapi pengundi di Pantai Barat, jumlah pengundi Melayu sekitar 60% atau kurang dari itu, sementara jumlah pengundi bukan Melayu ialah sekitar 40%.

Adalah sangat naïf jika berfikir bahawa cukupkah kalau kita dapat menang di negeri yang majoriti Melayunya besar, seperti di Pantai Timur.

Jika ada pemikiran pendukung PAS seperti itu, maka ia hanya mahu menarik PAS undur ke belakang 20 atau 30 tahun. Tidak munasabah jika PAS yang sudah berumur 63 tahun hendak ditarik ke belakang semakin jauh.

Sementelah lagi apakah teori itu tepat iaitu memberi fokus lebih kepada kawasan Melayu itu, konon kerana orang Melayu majoritinya ‘pasti’ akan mengundi PAS dengan andaian ia didukung  oleh orang Melayu/Islam. Sejarah pilihan raya yang lalu menunjukkan keadaan seumpama ini jarang atau tidak berlaku.

Menurut suatu kajian lain pula, jumlah pengundi Melayu di luar bandar akan jauh merosot di tahun-tahun akan datang di mana mungkin susut hingga tinggal 25% saja dari jumlah keseluruhan peratusan pengundi di Malaysia hingga PRU akan datang.

Ini kerana jumlah pengundi di luar bandar banyak berpindah, mengikut anak di bandar, meninggal dunia dan beberapa sebab lagi. Dengan itu jumlah pengundi Melayu seperti di Lembah Klang, sekitar bandar di Johor, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan lain-lain akan terus bertambah.

Maka itu tumpuan pengundian pada asasnya kini ialah di dalam bandar, iaitu pengundi Melayu dan bukan Melayu. Ini tentunya sangat signifikan dalan menentukan kemenangan sesuatu parti yang bertanding dalam PRU akan datang.

Dalam PRU yang lalu, banyak calon PAS menang di kawasan campuran iaitu di bandar seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, terbukti sukar bagi calon PAS untuk menang. Inilah hakikat yang sebenarnya dan terimalah realiti ini walaupun hakikat ini mungkin sukar diterima. Parti politik yang matang menerima realiti yang wujud dan berusaha berasaskan realiti yang ada.

Dari itu saya yakin, pendukung PAS yang berfikiran jauh ke depan tidak akan berfikir untuk bertanding secara bersendirian dalam PRU akan datang betapapun didorong oleh kemarahan atas apa yang berlaku dalam Pakatan sendiri. Emosi dan pemikiran sempit tidak wajar diberi ruang dalam membuat keputusan politik.

Pemikiran besar dan jauh ke depan perlu ada pada pendukung PAS. Maka di sinilah saya masih ingat pesan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beberapa tahun lalu: “Kita (PAS) berada dalam Pakatan Rakyat, banyak manfaatnya. Kita dapat berdakwah dengan luas kepada semua kaum. Kita dapat menjalin hubungan dengan mudah dengan bukan Islam”.

Memang diakui sejak krisis yang menimpa Pakatan Rakyat lebih tujuh bulan lalu dan merecik menjadi krisis dalam PAS sendiri, tetapi ini tidaklah boleh menyebabkan sesetengah pendukung PAS terdorong mahu PAS bersendirian dalam perjuangan politik walau apa hujahpun.

Seperti diketahui, sebanyak empat kali muktamar PAS bukan saja menunjukkan komited dengan Pakatan Rakyat, bahkan berikrar memperkukuh Pakatan Rakyat.

Jadi tidaklah wajar ada sesetengah pihak di dalam PAS sendiri, walau dalam status apapun, begitu mudah mengeluarkan kenyataan bersifat mengugut, mendesak, mengancam, menyindir, memberi kata dua dan sebagainya mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat. Yang perlu di sini ialah PAS bersama komponen Pakatan pelu kerap berunding untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul.

Tetapi yang menjadi masalah di sini ialah ramai di dalam PAS yang sangat ghairah mengeluarkan kenyataan itu dan ini berhubung kedudukan PAS dalam Pakatan. Ini tentunya tidak baik bagi PAS, terutama dalam usaha meneruskan hubungan baik dengan Pakatan, justeru tindakan ini menyebabkan rakyat keliru yang mana satu menjadi jurucakap parti.

Lebih malang lagi, tanpa disedari, tindakan sesetengah pendukung PAS ini menyebabkan pihak musuh PAS dan Pakatan sendiri mendapat keuntungan politik darinya. Yang perlu ialah Pakatan perlu kerap berunding untuk menyelesaikan masalah.

Sementara itu, pada pendapat saya, PAS sangat memerlukan ahli yang bijaksana dan dapat mengawal emosi, terbuka, mampu membaca dengan tepat geo-politik dalam negara, malah luar negara.

Maka itu untuk membina pendukung PAS yang berkualiti, seperti yang dipesan oleh bekas Presden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, mereka perlu berusaha menambah ilmu, tidak terbatas ilmu agama saja, rajin membaca, membina kecemerlangan berfikir, pergaulan luas dan sebagainya.

Jika ahli PAS mencapai kualiti seperti ini, maka mereka tidak akan mudah mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah, penuh kontroversi, yang hanya mencederakan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Pada akhirnya, saya penuh yakin, PAS sewajarnya terus kekal dalam Pakatan Rakyat, dalam apa keadaanpun dengan keyakinan tidak akan sampai berkompromi dengan dasar perjuangan Islamnya.

Dengan perpaduan dalam Pakatan, maka dengan izin Allah, boleh mencapai kemenangan hingga ke Putrajaya. Ini adalah azam politik justeru politik adalah co-business PAS.

Kalau sebuah parti politik tidak bercita-cita hendak mencapai kemenangan politik, maka ia bukan parti politik, justeru politik ialah mengenai kuasa.

Akhirnya, disimpulkan, PAS sewajarnya memfokuskan bukan saja kepada pengundi Melayu bahkan kepada pengundi bukan Melayu juga bersama Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan politik. - HARAKAHDAILY 25/12/2014

No comments:

Post a Comment