Wednesday, December 17, 2014

Jenayah dalam kalangan Gen Y membimbangkan

Harakahdaily

BERNAMA | .
MELAKA: Jenayah membabitkan generasi Y atau golongan muda didapati meningkat dan membimbangkan, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.
    
Beliau berkata statistik jenayah 2013 menunjukkan pembabitan generasi Y yang masih bergelar pelajar dalam jenayah meningkat sebanyak 57 peratus iaitu 1,632 kes berbanding 1,042 kes pada tahun 2012.
    
Manakala kadar jenayah bagi generasi Y yang bukan pelajar turut mencatatkan peningkatan iaitu 6,184 kes pada tahun 2013 berbanding 2,658 kes pada tahun 2012, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Memerangi Jenayah Jalanan anjuran MCPF dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.
    
Turut hadir Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye dan Timbalannya Mohd Shahrizan Che Mat Din.
    
Sementara itu Lee berkata lebih 70 peratus kadar jenayah ragut yang dilaporkan di negara ini melibatkan penagih dadah yang mengambil jalan mudah melakukan jenayah ragut untuk membeli bekalan dadah.
    
"Cara termudah bagi mereka ialah dengan melakukan kegiatan jenayah ragut yang kebanyakan mangsa disasarkan kepada golongan wanita," katanya.
    
Beliau berkata berdasarkan statistik PDRM Bukit Aman, kes jenayah ragut mencatat peningkatan sebanyak 347 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini iaitu sebanyak 2,098 kes berbanding 1,751 kes bagi tempoh sama pada tahun 2013.  BERNAMA

No comments:

Post a Comment