Friday, December 19, 2014

Kekecohan tercetus, kereta pemimpin MIC jadi sasaran

18 Dec 2014
GALERI FOTO

Kekecohan tercetus di luar ibu pejabat MIC ketika anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) meninggalkan bangunan itu selepas menghadiri mesyuarat tergempar petang ini.
 
Orang ramai mengerumuni kereta BMW biru milik anggota CWC, G Kumar Amman, serta menendang kereta itu, sehingga anggota polis terpaksa membentuk benteng mengiringi kenderaan itu keluar dari situ.
 
Pemimpin MIC itu dikenali memihak kepada presiden parti itu, Datuk G Palanivel.
 
Palanivel sendiri dikerumuni ahli MIC yang berang ketika beliau keluar dari bilik mesyuarat dan kemudiannya ketika beliau menuju ke keretanya di tengah-tengah teriakan "letak jawatan" dan "Kami mahu pemilihan semula".
 
Dalam satu lagi insiden, bekas Ketua Pemuda SA Vigneswaran terbabit dalam pergelutan dengan ahli yang tidak dikenali.
 
Beberapa pergelutan juga berlaku di tempat kejadian.
 
MIC telah berpecah ekoran arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti mengadakan pemilihan semula.
 
Sebelum itu, ketika anggota CWC mengadakan mesyuarat pada jam 2 petang, suasana di luar sudah tegang dengan kira-kira 500 ahli berkumpul, yang kebanyakannya menggesa Palanivel berundur.
 
Satu kain rentang besar turut dipasang di satu jejambat yang menghadap bangunan MIC tersebut, yang memaparkan gambar Palanivel dan tulisan “Please step down (Sila letak jawatan)”.

Beberapa kain rentang lain dengan mesej yang sama turut dipasang di sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu, sekumpulan 100 ahli MIC turut berarak bagi membantah keputusan untuk mengadakan mesyuarat CWC.

Kumpulan itu mendakwa, mesyuarat berkenaan “tidak sah” kerana anggota jawatankuasa terbabit tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Seorang ahli MIC turut berucap dengan menggunakan pembesar suara di hadapan bangunan tersebut.

Tindakan itu tidak disenangi pengarah strategi parti, Datuk Seri S Vell Paari, yang berteriak dari satu tingkap di tingkat atas bangunan tersebut.

“Jangan bercakap dengan pembesar suara, ada mesyuarat sedang berlangsung di sini,” katanya.

Perhimpunan berkenaan diawasi sepasukan anggota polis, termasuk Unit Tindakan Ringan, manakala jalan menuju ke bangunan tersebut juga ditutup.

ROS membatalkan pemilihan untuk jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota CWC yang diadakan semasa pemilihan agung parti tersebut di Melaka November lalu.

Palanivel pada minggu lalu berkata, mesyuarat CWC akan membincangkan “beberapa perkara yang tidak pasti” dalam surat ROS.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment