Friday, December 26, 2014

Konsert ambang 2015 dibatalkan tanda simpati

25 Dec 2014  Malaysiakini

Program sambutan Ambang Tahun Baru 2015 tajaan Kumpulan Ambank di Putrajaya pada 31 Disember ini dibatalkan sebagai tanda simpati terhadap mereka yang terjejas banjir, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
  
Sehubungan itu, katanya beliau akan berbincang dengan pihak penaja berhubung cadangan supaya peruntukan untuk program itu berjumlah RM3 juta disalurkan kepada mangsa banjir.
  
"Ingin saya maklumkan bahawa program sambutan Ambang Tahun Baru 2015 itu kosnya bukan daripada Perbadanan Putrajaya atau Kementerian Wilayah Persekutuan, ia ditaja Ambank.
  
"Saya akan berbincang dengan pihak Ambank, dengan pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim yang sedang menunaikan umrah, wang yang hendak dibelanja sebanyak RM3 juta (untuk program) itu kalau boleh disalurkan untuk bantuan banjir," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas Wilayah Persekutuan anjuran kementerian bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan di ibunegara hari ini.
  
Pelbagai pihak sebelum ini menggesa kerajaan membatalkan program sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 di Putrajaya kerana ia tidak sesuai berikutan bencana banjir yang sedang melanda dan peruntukan untuk program itu disalurkan kepada mangsa banjir.
  
Tengku Adnan bagaimanapun berkata program selawat yang akan diadakan di Masjid Putrajaya dan di Jalan Raja, akan diteruskan sebagaimana dirancang.
  
Selain itu, katanya kementeriannya melalui DBKL bersedia menghantar peralatan dan keperluan untuk membantu mangsa dan kawasan yang terlibat banjir.
  
"Kita sediakan tenaga penyelamat, pasukan pembersihan sebanyak 100 orang, klinik bergerak, pelbagai jenis lori, tangki air, pengangkutan pengkhususan sampah, jentolak dan khidmat fogging," katanya.
  
Beliau berkata kementerian juga menyediakan kaunter khas untuk orang ramai memberikan sumbangan pakaian dan makanan kepada mangsa banjir mulai Isnin ini di lobi ibu pejabat kementeriannya di Putrajaya, lobi DBKL dan ruang legar Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
  
Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno berkata beliau juga telah mengeluarkan arahan kepada Umno bahagian di setiap negeri yang tidak terlibat banjir untuk turut membantu dalam memberi sumbangan tenaga dan apa jua bantuan yang diperlukan.

Sementara itu, kerajaan Negeri Terengganu mengarahkan semua acara dan majlis berbentuk hiburan termasuklah sambutan ambang tahun baharu 2015 dibatalkan.
  
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) Samiun Salleh berkata pembatalan itu adalah berikutan dengan bencana banjir yang melanda hampir keseluruhan negeri.
  
"Kerajaan negeri sekarang ini memfokuskan kepada keadaan (dan membantu mangsa)banjir yang melanda di daerah-daerah dalam Terengganu.

"Oleh itu kerajaan telah mengarahkan agar segala anjuran berbentuk hiburan termasuklah program sambutan ambang tahun baharu yang kita (kerajaan negeri) telah rancang akan turut dibatalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Samiun yang juga Pemangku Datuk Bandar Kuala Terengganu berkata tidak wajar sekiranya sebarang acara berbentuk hiburan dianjurkan dalam waktu ketika
ramai penduduk ditimpa musibah banjir.

- Bernama
 

No comments:

Post a Comment