JELI - Seorang warga emas Muhamad Idris dari Kampung Kuala Balah di sini terpaksa menanggung kesakitan lebih lima jam di rumahnya ekoran sakit kencing berdarah kerana jalan ke Hospital Jeli terputus akibat dinaiki air setinggi 1.5 meter.

Muhamad, 70, terpaksa dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Balah menaiki ambulans untuk mendapat rawatan awal, sebelum dibawa menggunakan bot bomba menyeberangi kawasan dinaiki air sejauh satu kilometer, dan kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans yang sudah menunggu di seberang sungai.


Anaknya, Mohd Azman Muhamad, 34, berkata beliau pergi meminta bantuan di klinik kesihatan itu dahulu selepas ayahnya mengadu kencingnya berdarah hingga mengakibatkan kesakitan serius di bahagian kemaluan.

"Ayah saya memanggil saya masuk ke biliknya mengadu tidak tahan sakit. Bila saya masuk, saya lihat kain pelekat ayah sudah dibasahi darah...menyebabkan saya bergegas meminta bantuan klinik.


"Nasib baik kawasan rumah saya tidak begitu teruk dinaiki air dan ambulans mudah sampai ke rumah kami. Setelah menerima rawatan awal, klinik kata ayah kena dihantar Hospital Jeli kerana ia agak kronik," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Balah, Fauzi Zakaria, 50, berkata, hari ini sahaja terdapat tiga kes yang terpaksa dirujuk ke Hospital Jeli iaitu kes wanita bersalin, pesakit diabetes dan kes kencing berdarah itu.


"Kami melihat keadaan pesakit (Muhamad) agak kronik kerana kami percaya, tiub yang digunakan untuk membuang air kecil tidak dimasukkan secara betul, hingga mengakibatkan luka di bahagian dalam," katanya.


Lebih 100 keluarga di Kampung Kuala Balah kini terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Kuala Balah selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi 2 meter.


Sehingga kini, jumlah mangsa di Jeli meningkat kepada 1,308 orang yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.


Sementara itu, sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Balah.

Ketua misi Arham Muchtar Achmad Bahar berkata, asalnya beliau dan 20 mahasiswa itu merancang untuk pergi ke Gua Musang, tetapi rancangan mereka tergendala apabila Jalan Kota Baharu - Gua Musang dinaiki air di Jajahan Kuala Krai.


Namun, ia nyata tidak mematahkan semangat mereka untuk berbakti, dan kumpulan itu mengambil keputusan untuk pergi ke kawasan Kampung Kuala Balah bagi membantu penduduk setempat.


"Memang asalnya kami mahu ke Gua Musang. Tapi apabila perjalanan tersekat, kami pun bertanya kepada pihak berkuasa tempat mana yang boleh kami bantu. Dan buat masa ini, kami akan pergi ke Kampung Kuala Balah membawa bekalan seperti makanan kering dan air mineral untuk diedarkan di pusat pemindahan itu.


"Di samping membantu mangsa banjir, kami juga akan tumpukan pada objektif asal kami iaitu membuat kajian mengenai struktur muka bumi, serta mengumpul
data-data sebagai bahan pembelajaran kami," katanya lagi. - Bernama