Tian Chua (kiri) bersalaman dengan Pengerusi PKR Kedah yang baharu, Dr Azman Ismail. 
  •  Tian Chua (kiri) bersalaman dengan Pengerusi PKR Kedah yang baharu, Dr Azman Ismail.
ALOR SETAR – PKR mengakui bahawa Umno dan Pas mempunyai persamaan dari segi kekuatan dan pengaruh politik di Kedah.
Naib Presidennya, Tian Chua berkata persamaan itu menyebabkan PR menghadapi cabaran besar setiap kali menjelang pilihan raya.

“Kita sedia maklum bahawa tenaga politik tradisi Umno dan Pas merupakan kuasa yang sudah dominan di Kedah. Masing-masing ada kekuatan dan kelebihan dalam banyak aspek.

“Namun kita (PKR) juga ada kelebihan dalam aspek tertentu yang mampu menarik lebih banyak sokongan pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Dialog Bajet 2015 membongkar rahsia 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Budiman, Jalan gangsa, di sini, Isnin lalu.

Tian Chua berkata, kekuatan yang dimiliki Pas juga mampu membantu PR mendapatkan sokongan dan menang di kawasan tertentu.

Pada PRU13 lalu, BN berjaya merampas semula pentadbiran kerajaan negeri daripada PR selepas memenangi 20 kerusi Dun.

Sementara PR pula memenangi 16 kerusi, masing-masing Pas (10), DAP (2) dan PKR (4).