Wahid (tengah) meredah kawasan banjir ketika mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Paloh. 
  • Wahid (tengah) meredah kawasan banjir ketika mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Paloh.
KUALA TERENGGANU – Biarpun pelbagai bantuan disalur kerajaan negeri, Pas juga tidak terkecuali mahu menyumbang bakti kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini khususnya di Kuala Terengganu.
Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, bencana yang berlaku di Dun berkenaan adalah perkara di luar jangka dan pihaknya turut simpati dengan nasib rakyat yang ditimpa musibah.

“Kita mengambil keputusan untuk turut sama mengagihkan bantuan keperluan makanan kepada mangsa banjir terutama mereka yang tidak berpindah di pusat pemindahan.

“Biar kita turut sama merasai penderitaan mereka (mangsa banjir). Di kawasan saya (Dun Wakaf Mempelam) kebanyakan mangsa banjir adalah disebabkan limpahan air sungai.

Bagaimanapun setakat ini sudah enam kampung melibatkan lebih kurang 200 keluarga kita masuk dan bagi bantuan kepada mereka (mangsa banjir),” katanya ketika mengagihkan keperluan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Paloh.

Turut turun padang, isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah; Pengarah Operasi Banjir Dun Wakaf Mempelam, Radzali Abdul Ghani serta beberapa jawatankuasa lain.

Dalam pada itu, Wahid berkata, jika keadaan banjir berterusan, pihaknya sedia membantu mangsa-mangsa banjir lain pula.