KUALA LUMPUR:
Pasukan peguam Mejar Zaidi telah memohon Mahkamah Tentera
mengisytiharkan perbicaraan beliau sebagai 'mistrial' kerana mahkamah
tersebut tidak mampu lagi untuk menegakkan keadilan kepada si tertuduh.
Ketua pasukan peguam Mejar Zaidi, Mohamed Hanipa Maidin memulakan
hujah beliau di Mahkamah Tentera hari ini dengan menyatakan bahawa
beliau berhujah dalam keadaan protes kerana perbicaraan ke atas
anakguamnya telah mencapai satu tahap di mana keadilan tidak mungkin
dapat lagi ditegakkan oleh mahkamah kerana sikap tidak memihak mahkamah
(the court's impartiality) telah terjejas.
Ini kerana, hujah Hanipa, pengerusi Koram Mahkamah iaitu Kolonel
Saadon Hasnan telah membuat satu komen yang memprejudiskan Mejar Zaidi
di portal Malaysiakini semasa perbicaraan kes ini masih berjalan di
mahkamah.
Mejar Zaidi telah membuat aduan kepada pihak tentera tentang isu
tersebut dan sehingga kini ia tidak pernah disiasat sedangkan apabila
beliau membuat laporan polis isu dakwat kekal pihak tentera telah
membuka kertas siasatan ke atas beliau.
Hanipa juga berhujah adalah satu keganjilan untuk mahkamah meminta
peguambela Mejar Zaidi berhujah di akhir kes pembela dalam keadaan
integriti dan kebebasan mahkamah yang membicarakan Mejar Zaidi
dipersoalkan dan dicabar oleh tertuduh yang dibicarakan di mahkamah itu
sendiri.
Oleh itu, Hanipa berhujah satu satunya jalan penyelsaian kepada hal tersebut adalah dengan mahkamah mengisytiharkan mistrial.
Mistrial merujuk kepada keadaan di mana sesuatu perbicaraan di
mahkamah tidak lagi mampu dikendalikan mengikut prinsip-prinsip
keadilan.
Hanipa kemudiannya dihalang oleh mahkamah dari berhujah isu mistrial
tersebut atas alasan isu itu tidak boleh dihujahkan di Mahkamah Tentera
sebaliknya ia seharusnya dibangkitkan di depan pihak berkuasa sidang.
Hanipa bagaimanapun bertegas menyatakan mistrial boleh dihujahkan
oleh peguam di mana mana mahkamah apabila proses keadilan perbicaraan
dipersoal dan dipertikai dan mahkamah adalah forum yang layak mendengar
dan memutuskan perkara tersebut.
Hanipa menyatakan "bagaimanakah kami ingin menyampaikan hujah
mistrial ini di depan Pihak Berkuasa Sidang sedangkan mereka bukan pihak
yang mendengar kes ini dan tidak ada di mahkamah ini untuk mendengar
hujah kami ini".
Mahkamah kemudiannya menangguhkan pendengaran selama 15 minit untuk berbincang dan memutuskan isu tersebut.
Selepas mahkamah diteruskan semula, Yang Dipertua Mahkamah memutuskan
peguambela tidak dibenarkan berhujah isu mistrial dan diminta berhujah
isu lain.
Hanipa menyatakan beliau tidak ada isu lain yang akan dihujah kerana
mengambil kira insiden yang berlaku dalam kes ini yang melibatkan
pengerusi mahkamah membuat komen sebelum keputusan kes dibuat dan semasa
kes masih dalam perbicaraan hanya isu mistrial yang relavan untuk
dihujahkan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh keputusan kes pada 7 Januari 2014.
Sementara itu Hanipa memaklumkan kepada mahkamah bahawa anakaguamnya
telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pihak
Berkuasa Sidang yang enggan membubarkan Mahkamah Tentera meskipun
wujudnya keterangan yang tidak dicabar bahawa Yang Dipertua Mahkamah,
Kolonel Saadon telah memberi komen di Malaysiakini tentang kes ini
sebelum mahkamah memutuskan meminta Mejar Zaidi dipanggil membela diri
bagi dua pertuduhan pindaan.
Mejar Zaidi dituduh dengan 7 pertuduhan di mana beliau telah dibebaskan 5 daripada pertuduhan tersebut.
Pendakwaan ke atas beliau melibatkan isu laporan polis yang dibuat oleh beliau berkaitan isu dakwat kekal yang tidak kekal.
Beliau diwakili oleh Nasar Khan, Aminudin Zulkifli, Azhana Mohd Khairudin dan Mohamed Hanipa Maidin. - HARAKAHDAILY 19/12/2014
No comments:
Post a Comment