Shamsul Iskandar Mohd Akin 
  •  Shamsul Iskandar Mohd Akin
SHAH ALAM- Pas diingatkan jangan terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung tahaluf siyasi berkenaan  pelaksanaan hukum hudud kerana akan memberikan gambaran negatif kepada PR.
Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata sebelum ini mesyuarat antara parti komponen dalam PR terikat untuk bersetuju mengenai perbezaan pendapat dalam pelaksanaan hudud.

“Saya rayu supaya pimpinan  tertinggi PR mengadakan perbincangan  terutamanya hal-hal berkaitan dasar   dalam mesyuarat majlis presiden.

“Pas juga perlu ingat kemenangan PR di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang adalah atas tahaluf siyasi yang terbina selama ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kata beliau, Pas perlu banyak bersabar dalam rancangan pelaksanaan hukum hudud dengan memilih cara perbincangan antara komponen dalam PR.

“Sebelum apa-apa mahu dilaksanakan sebaiknya kita semua adakan perbincangan, mungkin dengan adakan taklimat antara parti boleh dipilih sebagai jalan penyelesaian yang terbaik.

“Perkara ini penting supaya tidak ada cabar mencabar di media sehingga menimbulkan kekeruhan yang lebih teruk dalam PR,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh yang senada berkata apa-apa perkara melibatkan soal dasar dalam PR sepatutnya dibawa ke mesyuarat majlis presiden terlebih dahulu.

“InsyaALLAH Januari ini kita akan adakan mesyuarat majlis presiden. Apa-apa cadangan boleh dikemukakan pada mesyuarat itu nanti,” katanya.