Johari Abdul 
  • Johari Abdul
PETALING JAYA - Kemampuan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menerajui PKR dan meneruskan kerjasama politik dengan DAP dan Pas tidak boleh diragui jika peristiwa hitam pada 1999 berulang sekali lagi.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Johari Abdul berkata, bosnya atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan lebih kuat dan bersedia berbanding ketika menerajui Barisan Alternarif jika suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah.
 
"Ketika Barisan Alternatif (BA) ditubuhkan pada 1997, Kak Wan masih presiden, sudah tentu kita sudah mengharungi saat getir masa itu, begitu juga DAP dan Pas, tapi kita berjaya menguruskan bersama.
 
"Malah Kak Wan sudah beberapa kali mengharungi saat yang sukar, saya yakin kali ini dia boleh hadapinya kerana dia tidak keseorangan, dia mempunyai pemimpin berkaliber di sekelilingnya.
 
" Saya tidak lihat ada masalah (jika Anwar dipenjara) malah dulu tiada ahli parlimen pun, tapi sekarang 31 ahli parlimen dan beberapa Adun bersamanya, dia lebih kuat sekarang," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kredibiliti dan keupayaan Adun Kajang itu yang dicurigai ketika peristiwa perebutan jawatan menteri besar di Selangor tahun lalu.
 
Krisis perebutan kerusi Menteri Besar Selangor tercetus dengan 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR ketika itu, Rafizi Ramli yang bertujuan menjadikan Ketua Umum PKR itu sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.