•  Tan Sri Abu Zahar Ujang
SHAH ALAM - Negara memerlukan pembangkang yang bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam memainkan peranan sebagai pihak yang 'memantau dan menegur' pentadbiran kerajaan.

Bekas Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata beliau secara peribadi berpendapat kualiti pembangkang di Malaysia ketika ini tidak begitu memuaskan terutama dalam soal menghormati peraturan ketika membahaskan sesuatu perkara di Parlimen.

"Kita memerlukan pembangkang dalam sistem demokrasi di negara ini tetapi kita nak lihat pembangkang yang mengamalkan sikap keterbukaan dan bertanggungjawab kepada negara.

"Di Jepun, apabila mereka membahaskan belanjawan negara kita dapat lihat perdana menteri dan ketua pembangkang duduk bersama. Mereka berbahas dengan penuh hemah serta tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan biadab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Selangor 2015 di sini, hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar.

Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara bagaimanapun mengakui ada dalam kalangan pembangkang menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik apabila menyumbang idea secara berhemah ketika berbahas di Parlimen.

"Jangan jadi seperti sesetengah (wakil rakyat) itu yang pernah menjawat jawatan tertinggi dan dia tahu itu (peraturan dewan) tetapi demi nak dapatkan publisiti murahan dia sengaja keluarkan perkataan yang bukan-bukan," katanya.

Ketika mengulas tindakan PKR menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memohon membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin depan, Abu Zahar berkata beliau secara peribadi berpandangan sesiapa sahaja yang telah dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan jenayah perlu menghormati keputusan mahkamah.
[ARTIKEL BERKAITAN: Guna kedudukan speaker dewan]

"Kalau nak keluar (hadiri persidangan) saya rasa kalau buat sesuatu benda yang 'precedent it becomes bad precedent' (duluan ia akan menjadi duluan yang tidak baik)," katanya.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Selasa lepas (24 Februari), isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara itu. - Bernama