Tuesday, March 31, 2015

Tangani kemiskinan fardhu wajib, titah Sultan Nazrin

  .


IPOH: Menangani kemiskinan adalah fardu wajib, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah demikian dalam upacara Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri (Dun) Perak, dekat sini, hari ini.

Titah baginda, proses mengagihkan pendapatan negeri dan negara secara adil lagi saksama adalah tugas wajib yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurut baginda, khidmat sosial dan kebajikan kepada rakyat jelata terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah akan terus diambil perhatian.
"Tidak ada rakyat yang harus berasa terpinggir atau dipinggirkan dalam sebuah negara yang dilimpahkan ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan," titah baginda.

Dalam titah, baginda turut menjelaskan, Gagasan Satu Malaysia adalah berpaksikan konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Oleh yang demikian, titahnya, segala dasar, perancangan dan pelaksanaan wajiblah mengambil ingatan bahawa rakyat jelata terutama dalam kalangan yang berada dalam kategori miskin dan berpendapatan rendah merupakan konstituen yang paling perlu diberikan pembelaan dan mendapat pertolongan kerajaan dari segi perkhidmatan sosial, kebajikan, kesihatan dan perumahan. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

No comments:

Post a Comment