Friday, March 6, 2015

Terkejut penjara tidak benarkan Anwar ke parlimen

DATUK JOHARI ABDUL | .

SAYA amat terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Datuk Sri Zulkifli Omar Ketua Pengarah Penjara Malaysia yang tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia menghadiri sidang Parlimen yang akan bermula pada 9 Mac 2015 ini.

Lebih terkejut lagi Ketua Pengarah Penjara dalam suratnya kepada N Surendran dan Latheefa Koya peguam-peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi apa-apa sebab dan asas di atas penolakan permohonan untuk tidak membenarkan Datuk Seri menghadirkan diri dalam sidang Parlimen nanti.

Seperti yang dinyatakan dan disahkan sendiri oleh Tan Sri Speaker Dewan Rakyat bahawa sehingga kini Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia selaras dengan Fasal 48 (4) (c). Fasal ini menyebut:

(c) jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau tempoh selepas pemberesan rayuan atau prosiding mahkamah yang lain yang dinyatakan dalam perenggan (b) ada difailkan suatu petisyen bagi pengampunan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan.

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan suatu petisyen kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agung dan petisyen itu belum dibereskan, ini bermakna, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Peranan paling utama setiap Ahli Parlimen ialah menghadiri sidang Parlimen. Ketua Pengarah Penjara dengan ini melakukan satu kesalahan bila menyekat seorang Ahli Parlimen dari  menghadiri sidang Parlimen.

Ketua Pengarah Penjara boleh membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri perbicaraan pada 17 Februari 2015 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi tetapi tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang Ahli Parlimen hadir di sidang Parlimen. Ini satu tindakan yang amat luar biasa dan tidak masuk akal.

Saya yakin keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Penjara ini dibuat dengan tidak merujuk kepada YB Tan Sri Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu. Saya juga yakin jika ianya dirujuk, Tan Sri Speaker akan mengesahkan yang status Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Malaysia.

Saya menyeru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selaku Menteri Dalam Negeri supaya dapat melihat semula keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Penjara ini, kerana tanpa mengubah keputusan ini, akan mengesahkan satu penginayaan telah berlaku dan telah berlaku pelucutan hak seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, telah  dibuat tanpa mengendahkan Perlembagaan Persekutuan yang semua Ahli Parlimen wajib junjung dan pertahankan.

Saya dan teman-teman kepimpinan yang lain tidak akan berdiam diri kami akan berusaha mencari jalan agar semua pihak termasuk Ketua Pengarah Penjara mesti mematuhi undang-undang dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai asas perundangan negara ini. - HARAKAHDAILY 5/3/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Sg Petani yang juga Ketua Whip PKR.

No comments:

Post a Comment