Saturday, May 30, 2015

Banjir: Kelantan usaha siapkan rumah sebelum raya

| .
 
KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus kerja-kerja pembinaan rumah mangsa banjir telah dilakukan Kerajaan Negeri Kelantan bagi mengurangkan penderitaan rakyatnya yang kehilangan rumah akibat banjir Disember tahun lalu.

Pengerusi Malaysian Emergency Disaster Management (MEDM), Salahuddin Ayub berkata Kerajaan kelantan mensasarkan 70 peratus kerja pembinaan rumah mangsa banjir selesai sebelum menjelang Aidilfitri Julai depan.

"Dua minggu lepas, MEDM bersama Pengerusi Tabung Pemulihan Bencana Banjir, Mohamad Sabu dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke Kelantan bagi mengetahui sendiri tantang status terkini penyediaan rumah banjir.

"Kita dimaklumkan lebih 50 peratus siap dan sebanyak 600 buah rumah diperuntukan kerajaan negeri kepada mangsa-mangsa banjir, peruntukan untuk menyiapkan rumah ini diperolehi dari sumbangan NGO-NGO derta PAS Kawasan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau turut memaklumkan, sejak awal bencana banjir melanda Kelantan, MEDM telah menerima sumbangan dari orang ramai hampir 500 ribu.

Sebahagian dari sumbangan tersebut digunakan untuk bantuan awal banjir serta kerja-kerja tolong semula 'rehelp' dan selebihnya dikembalikan kepada Tabung Tabung Pemulihan Bencana Banjir PAS Pusat.

"Sekarang telah masuk fasa ke tiga iaitu fasa pemulihan, bagi MEDM urusan hanya setakat itu sahaja dan selebihnya diuruskan kerajaan negeri.
"Begitu juga dengan baki kutipan yang kita ada juga diserahkan kepada Tabung Pemulihan Bencana Banjir PAS Pusat," sambung beliau lagi.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS turut menggesa kerajaan pusat agar tidak mempolitikkan isu penyediaan rumah kepada mangsa banjir.

Gesaan itu berikutan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang belum dapat menyediakan sepenuh rumah seperti yang dijanjikan.
"Tanggungjawab kerajaan pusat menyediakan penempatan baru kepada mangsa banjir, mereka mempunyai dana yang banyak dan telah diumumkan sebelum ini.

"Mangsa banjir tidak mahu mereka dipolitikkan, apa yang mereka mahu adalah rumah untuk mereka berteduh," kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 29/5/2015

No comments:

Post a Comment