• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipecat.
 
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, sokongan itu berdasarkan beban hutang bernilai RM42 bilion yang wujud dalam syarikat pelaburan milik kerajaan itu.
 
Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang menyokong penuh permintaan Muhyiddin agar kesemua ahli lembaga pengarah 1MDB dipecat tetapi kesal kerana permintaannya itu langsung tidak diendahkan.
 
“Sehingga sekarang, tiada tindakan diambil terhadap 1MDB. Jika orang kedua terpenting dalam negara minta pun tak diendahkan, maknanya 1MDB ini sangat berkuasa.
 
"Mereka hanya patuh kepada seorang. Timbalan Perdana Menteri pun tak laku,” katanya kepada media, hari ini. 
 
[ARTIKEL BERKAITAN: Pecat ahli lembaga pengarah 1MDB]
 
Guan Eng berkata, sebelum ini, 1MDB ada membeli tanah estet di Air Itam bernilai RM1.38 bilion.
 
“Saya hairan, dari mana 1MDB ada banyak wang. Dahulu, melalui Kelab 1Malaysia, mereka datang buat kacau di kawasan saya dengan pelbagai sogokan. 
 
"Apa yang dikesalkan, perbuatan mereka itu tiada tindakan dari pihak berkuasa," katanya.
 
Terdahulu, Muhyiddin mengakui mahu ahli lembaga pengarah 1MDB dipecat susulan beban hutang yang wujud dalam syarikat itu.
 
Bagaimanapun, beliau berkata, kenyataannya itu adalah pandangan peribadi yang disuarakan pada pertemuan tertutup antara pemimpin dan ahli Umno.
 
Timbalan Presiden Umno itu berkata, kenyataannya mengenai 1MDB bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini pernah menggesa supaya kerajaan tidak melakukan ‘bailout’ terhadap syarikat itu.