Tuesday, May 26, 2015

Jangan bimbang, dasar perjuangan PAS tak berubah

.

IPOH: Dasar perjuangan PAS tidak pernah berubah sejak awal penubuhannya, tegas Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu.
Beliau berkata, walaupun berlaku pindaan dalam konteks perlembagaannya namun pindaan itu hanya berkaitan pengukuhan pentadbiran, bukannya berubah dari sudut dasar.

PAS katanya telah meminda perlembagaan menaikkan martabat kepimpinan ulama dengan menubuhkan Majlis Syura Ulama di samping mengekalkan Dewan Ulama.

Menurutnya, pindaan itu sebagai usaha mengekal serta memperjelas dasar perjuangan PAS yang berpandukan kepada Al-Quran dan hadis.
"Dasar perjuangan PAS tidak pernah berubah, pindaan-pindaan yang dilakukan tidak menyentuh soal dasar. Sebab itu jangan ada mana-mana pihak bimbang bahawa PAS telah lari daripada dasar.
"Dasar kita Islam dan tidak pernah akan berubah dan ahli PAS tidak ada niat untuk mengubah dasar kita," katanya ketika merasmikan Konvensyen PAS Perak kali ke-18 yang diadakan di D'Hotel, Seri Iskandar, semalam.

PAS katanya akan terus mempertahankan dasar perjuangannya, dalam masa yang sama berusaha mencapai kemenangan dalam menegakkan Islam di atas muka bumi khususnya di negara ini.
"Kita tidak mahu pertahan dasar tetapi kemenangan jauh untuk kita capai, kita tidak mahu hendak kemenangan tapi dasar hilang.

"Kedua-dua kita nak iaitu pertahan dasar dan mencapai kemenangan, akhirnya apa yang tercatat dalam perlembagaan PAS dapat dilaksanakan," tegas beliau yang berpengalaman dalam PAS hampir 37 tahun.

Sementara itu, konvensyen yang dihadiri oleh pimpinan di peringkat negeri dan kawasan itu telah mencapai 8 resolusi untuk diaplikasikan dalam gerak kerja PAS di negeri tersebut iaitu:
1. Mentajdidkan niat dan menjernihkan kefahaman terhadap matlamat sebenar perjuangan PAS dengan melibatkan diri secara aktif dalam program tarbiyah yang telah disusun.
2. Meningkatkan kualiti kepimpinan di semua peringkat dalam pelbagai aspek demi melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berkhidmat dalam kepompong PAS bahkan juga berkhidmat kepada pelbagai lapisan rakyat.
3. Memperkasa pelbagai aspek pengurusan organisasi di peringkat akar umbi, kawasan, dewan-dewan, lajnah dan jabatan.
4. Memperkemas segala aspek persiapan pilihan raya bermula dari sekarang demi merealisasikan hasrat PAS untuk kembali mentadbir negeri Perak.

5. Bijak menangani perbezaan pandangan dan krisis dalaman parti dengan pendekatan berhemah dan penuh rasa kasih sayang.
6. Mewujudkan jentera penerangan di semua peringkat yang efektif dan aktif demi memasyarakatkan PAS dan memPASkan masyarakat.
7. Mempelbagaikan program untuk menjana ekonomi dan sumber pendapatan parti dan kemuncaknya menjayakan pembinaan Kompleks PAS Negeri Perak.

8. Memperkukuh kesefahaman dan kesepaduan Pakatan Rakyat di pelbagai peringkat tanpa menggadai dasar perjuangan PAS demi mencapai kemenangan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Perak. - HARAKAHDAILY 25/5/2015

No comments:

Post a Comment