Sunday, May 24, 2015

Kejutan Dari Mahathir Hari Ini..

24 May 2015


 
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terus menyerang Datuk Seri Najib Razak, mengatakan perdana menteri itu berbohong mengenai status wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikatakan disimpan di BSI Bank di Singapura.

Merujuk jawapan bertulis Najib di Parlimen berhubung perkara itu beberapa hari lepas, bekas perdana menteri itu berkata, sebarang perbuatan “cover-up” atau menyembunyi kesalahan dalam urusan kerajaan, adalah salah dari segi undang-undang.
Ia satu kesalahan mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan dan polis harus menjalankan siasatan, kata Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc.

 "Amatlah menyedihkan apabila saya dapati saya tidak dapat elak dari kenyataan yang perdana menteri membohong.
"Dalam kes wang 1MDB yang dikatakan dibawa balik dari Cayman Islands dan disimpan dalam bank BSI Singapura, jawapan tertulis perdana menteri kepada soalan Parlimen tidak menepati kebenaran sama sekali.

"Pembohongan yang pertama ialah tidak ada wang tunai 1MDB yang dibawa balik," katanya.

"Kedua, tidak ada wang tunai yang dimasukkan ke dalam bank BSI di Singapura.

"Ini jelas dari pindaan kepada jawapan yang pertama, iaitu bukan wang tunai berjumlah AS$1.103 bilion (RM3.6 bilion), dimasuk dalam bank BSI, tetapi dokumen (surat pengakuan) yang disimpan dengan bank.

"Apa dia nya surat ini tidak dijelas tetapi yang jelas ialah ia bukan wang tunai," katanya.
Dalam jawapan kepada ahli Parlimen DAP Tony Pua (Petaling Jaya Utara) itu, Najib berkata, baki pelaburan itu yang ditebus 1MDB merupakan aset dalam bentuk dolar Amerika Syarikat.

Najib pada Mac lalu dalam satu jawapan bertulis kepada Pua berkata, dana yang ditebus itu dalam bentuk wang tunai.

Katanya, Bank BSI menafikan mengeluarkan dokumen yang diberi 1MDB berkaitan akaun anak syarikatnya, Brazen Sky Limited.

Ini, kata Dr Mahathir dalam tulisannya yang bertajuk 'Najib dan pembohongan' itu, jelas menunjukkan kenyataan bertulis kedua oleh Najib kepada Parlimen, mengatakan yang disimpan adalah dokumen, juga tidak benar.
Kejutan Dari Mahathir Hari Ini

Dr Mahathir berkata, Bank Negara Malaysia sudah tentu dimaklumkan oleh penguasa kewangan Singapura, Monetary Authority of Singapore, yang dana itu bukan berbentuk wang tunai, tetapi ia dirahsiakan.

"Tujuan merahsiakan tentulah kerana ada sesuatu yang tidak kena atau pembohongan yang dilakukan apabila Najib menjawab soalan yang wang tunai disimpan dengan Bank BSI di Singapura," katanya.

Dr Mahathir berkata, mereka yang membuat laporan salah melanggar undang-undang jenayah Seksyen 218.

"Perkara yang amat serius sedang berlaku.
"Wang syarikat milik kerajaan yang dihutang dengan jaminan kerajaan sebanyak RM7 bilion tidak dapat dikesan di mana ia berada dan percubaan dibuat untuk membohongi Parlimen dan negara berkenaan dengannya.
"Ada unsur jenayah berkenaan kes ini yang memerlukan siasatan oleh polis dan jika wang ini tidak juga dapat dikesan maka proses undang-undang hendaklah diambil terhadap semua pihak yang terlibat," katanya.

No comments:

Post a Comment