Sunday, May 24, 2015

LPPR syor petugas khas ditubuh siasat 1MDB

Malaysiakini 24 May 2015
Sebuah pasukan petugas khas perlu dibentuk bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap pelbagai dakwaan dan tohmahan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
  
Anggota pasukan itu perlu dianggotai oleh kesemua agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia serta Jabatan Audit Negara.
  
Penubuhan pasukan itu perlu kerana SPRM hanya boleh menyiasat kesalahan berkaitan dengan kes rasuah di bawah Akta SPRM 2009, kata Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
  
LPPR merupakan badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.
  
"Susulan penjelasan yang dibuat oleh Pengurusan Tertinggi SPRM kepada LPPR pada mesyuarat bulanan LPPR baru-baru ini, LPPR sebulat suara bersetuju bahawa satu Pasukan Petugas Khas perlu dibentuk bagi menyiasat sama ada kemungkinan wujud sebarang bentuk kesalahan di bawah undang-undang dalam pengurusan 1MDB yang menyebabkan beban hutang yang ditanggungnya mencecah RM42 bilion," kata kenyataan itu.

LPPR menegaskan bahawa penubuhan pasukan petugas khas itu penting bagi satu siasatan yang menyeluruh dikendalikan dan dibawa kepada umum.
  
"Pembentukan Pasukan Petugas Khas pelbagai agensi akan membolehkan satu siasatan terperinci dijalankan apabila Jabatan Audit Negara menyelesaikan semakan pihaknya, yang dijangka akan diumumkan akhir Jun 2015.
  
"Jika wujud sebarang bentuk kesalahan di bawah lunas perundangan, maka agensi-agensi terbabit harus mengambil tindakan sewajarnya mengikut kuasa masing-masing termasuk SPRM di bawah Akta SPRM 2009," menurut kenyataan itu.
  
-Bernama

No comments:

Post a Comment