Thursday, May 28, 2015

Kelantan tanggung RM2.4 juta serap GST di PBT

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Biarpun sumber kewangan agak terhad namun Kerajaan Kelantan sedia menanggung kos cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Lebih menggembirakan rakyat Kelantan lagi apabila keputusan itu bermula semalam setelah dilulus pada mesyuarat Exco.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata pengecualian  cukai itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung bebanan kewangan sehingga RM2.4 juta.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat Exco katanya, kemungkinan jumlah kos yang terpaksa ditanggung PBT di Kelantan akan meningkat dari setahun ke setahun.

“Keputusan ini dibuat bagi meringankan bebanan masyarakat terhadap bebanan GST yang dikuatkuasa kerajaan pusat bermula 1 April lalu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmod berkata, antara kos GST yang ditanggung kerajan sewa dewan dan tender parking, bayaran iklan, hasil perolehan jualan barangan tender, jualan barangan stor, sewaan, pajakan, sewa lot pejabat, dewan dan sebagainya.

“Sewaan pajakan kenderaan, sewaan peralatan kelengkapan kerusi meja, kelengkapan elektrik dan lain-lain yang melibatkan dengan masyarakat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 28/5/2015

No comments:

Post a Comment