Tuesday, May 26, 2015

Saham TNB merudum kerana 1MDB, kata Kadir Jasin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sahlah darah perantau Bugisnya menjadikan beliau Perdana Menteri yang “foot loose, fancy free” walaupun negara dan rakyat jelata dilanda pelbagai musibah dan kejadian ngeri.

Demikian tulisan Tokoh Wartawan Negara Datuk Kadir Jasin dalam blog beliau hari ini.

“Adakah beliau peduli bahawa jangkitan sistemik 1MDB semakin teruk? Mohd Najib buat-buat tidak tahu manakala Gabenor Bank Negara pun diam membisu,” ujar beliau.

Berikut tulisan penuh beliau.

PERDANA Menteri yang suka melawat ke luar negara, Mohd Najib bin Abdul Razak, kini berada di Jepun.

Pelabur mula hilang keyakinan. Atas cakap-cakap Mohd Najib akan paksa Tenaga Nasional Berhad (TNB) membeli aset penjanaan 1MDB, harga saham TNB merudum di Bursa Malaysia.

Mengikut laporan akhbar kawalan MCA, The Star harga saham TNB jatuh RM1.06 sejak 18 Mei lalu. Ini bermakna modal pasaran TNB jatuh RM6 bilion dalam masa seminggu.

Dan apa yang sudah jadi dengan Felda Global Ventures (FGV), periuk nasi peneroka Felda, yang riuh-rendah disenaraikan pada bulan Jun, 2012 sebagai persediaan pilihan raya umum 2013?

Harga tawaran awam permulaannya (IPO) RM4.55. Yang dapat beli saham, termasuk peneroka, sangat gembira. Tapi semalam harga saham FGV di Bursa Malaysia hanya tinggal RM2.02 – tidak sampai separuh. Sesiapa yang masih pegang rugi RM2.53 sesaham. Adakah Mohd Isa Abdul Samad peduli?

Pelabur bukan sahaja tidak percaya lagi kepada Mohd Najib malah mereka mula menarik keluar modal mereka dari Bursa Malaysia.

Apa kata pak-pak menteri yang faham ekonomi dan pasaran macam Mustapa Mohamed, Ahmad Husni Hazadlah dan Abdul Wahid Omar? Diam membisu dilanda sindrom koro?

Lupakan Idris Jala kerana bagi beliau semuanya boleh dihujahkan sebagai sempurna asalkan beliau dan Pamandu dapat nama. – HARAKAHDAILY 26/5/2015

No comments:

Post a Comment