KOTA BHARU - Pihak berkuasa agama Islam negeri perlu mengambil tindakan
sewajarnya membatalkan sumpah dan bai’ah dibuat wakil rakyat Pas
Kelantan kerana ia bertentangan tujuan asal perkahwinan dan boleh
mendatangkan mudarat lebih besar.
Naib Pengerusi Pasma Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, ia memberi
kesan negatif kepada isteri, anak dan keluarga pihak berkenaan,
berbanding sekatan keluar parti.
“Ia proses menyalahgunakan kuasa talak yang dibenarkan Islam tanpa tujuan dibenarkan syarak. Justeru, saya harap pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya,” katanya, semalam.
Che Ibrahim yang pernah menjadi hakim mahkamah syariah berkata, antara alasan kukuh bai’ah perlu dibatalkan kerana perkahwinan dibina atas asas kekal tanpa status politik.
Selain itu katanya, ikatan perkahwinan adalah perjanjian sehidup semati pasangan dan ia tidak boleh dirombak semata-mata kerana suami bertukar parti kecuali kerana maslahat atau kepentingan agama lebih besar.
Menurutnya, keluar parti atau melompat parti lain selama mana ia tidak menimbulkan mudarat besar kepada Islam bukanlah sesuatu diharamkan oleh syariah.
“Bai’ah dan sumpah menceraikan isteri dengan talak tiga melangkaui maslahat syarie antara kepentingan menjaga kerukunan dan ikatan perkahwinan dengan maslahat politik diperlukan semasa dilafazkan.
“Bantahan saya ini berdasarkan Undang-Undang Mesir, Perkara 25 Tahun 1929 dan Perkara 90 Undang-Undang Syria memperuntukkan, ‘Tidak jatuh talak ditakhlikkan jika dilafazkan bukan bermaksud menceraikan isterinya kecuali mendorong ia melakukan sesuatu atau
menghalang berbuat sedemikian, atau menggunakan sumpah bagi menyatakan sesuatu, tanpa tujuan lain’,” katanya.
Che Ibrahim berkata, pendirian itu juga selaras dengan pegangan Ibn Taimiah dan Ibn Qayyim.
“Mereka yang melafazkan bai’ah dan sumpah hendaklah melepaskan diri mereka daripada ikatan sumpah ini secara membayar kafarah iaitu beri makan kepada 10 orang miskin, atau beri pakaian kepada mereka, atau berpuasa tiga hari,” katanya.
No comments:
Post a Comment