
KUALA LUMPUR: PAS mendesak Pengerusi Lembaga Tabung
Haji (LTH) menjelaskan mengapa plot tanah di TRX yang dibeli dengan
harga RM188.5 juta itu masih belum terjual sehingga hari ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata pada 9 Mei yang
lalu, Pengerusi LTH mendakwa sudah terdapat tiga pihak yang telah
bersedia untuk membeli tanah berkenaan dan proses jual beli tersebut
akan dilaksanakan seminggu selepas itu.
"Hari ini, sudah dua bulan tanah kontroversi tersebut masih belum terjual," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Malah, katanya berdasarkan ucapan-ucapan Ahli Parlimen BN di Dewan
Rakyat ketika sidang yang lalu, kerajaan seolah-olah belum membuat
keputusan muktamad untuk menjual tanah itu.
Ini, ujar beliau menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap transaksi jualan antara LTH dan 1MDB.
"Adakah proses jual beli tanah tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya?" tanya beliau.
Ini, katanya menguatkan andaian lain bahawa pembelian tersebut hanya satu ‘bailed out’ terhadap krisis kewangan 1MDB.
Justeru, ujarnya PAS menuntut agar isu ini segera dimuktamadkan
kerana dana umat Islam terbesar di Malaysia tidak harus diheret ke dalam
krisis kewangan 1MDB yang berlaku sehingga ke hari ini. - HARAKAHDAILY 10/7/2015
No comments:
Post a Comment