MUAR – Umno Bahagian Pagoh tetap dengan pendirian akan terus berdiri
teguh di bawah kepimpinan Timbalan Presiden Umno yang juga Ketua Umno
bahagian itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas digugurkan daripada
senarai kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak, semalam.
Timbalannya, Ismail Mohamed, berkata, pendirian itu sebagai lambang
kesetiaan terhadap bekas pemimpin nombor dua negara yang selama ini
banyak menyumbang jasa dan baktinya kepada agama, bangsa dan negara
terutamanya di Pagoh.
“Kami kecewa apabila jasa beliau (Muhyiddin) seperti tidak dihargai
apabila digugurkan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan
menteri pendidikan hanya kerana mempertahankan prinsip dan pendiriannya
terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggap
bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama kabinet.
“Muhyiddin berusaha memainkan peranannya sebagai pemimpin untuk
mempertahankan hak rakyat dan kepentingan negara,”katanya dalam satu
kenyataan.
Menurutnya, pihaknya percaya tindakan Muhyiddin membangkitkan isu itu
adalah untuk mengetahui perkara sebenar tentang isu tersebut yang
menjadi persoalan rakyat sehingga kini.
Katanya, pihaknya yakin Muhyiddin akan lebih kuat dan bersemangat untuk
memperkukuhkan parti Umno kerana beliau masih lagi memikul
tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Umno.
“Umno Bahagian Pagoh berharap ahli jawatankuasa Umno Bahagian,
jawatankuasa sayap-sayap parti dan kepimpinan di peringkat cawangan
supaya bersabar, bertenang dan perlu yakin bahawa kebenaran akan
berpihak kepada Muhyiddin.
“Kami percaya ALLAH akan bersama pihak yang benar,”katanya mengakhiri kenyataan tersebut.
No comments:
Post a Comment