Saturday, August 29, 2015

Peristiwa Luar Jangka Akan Berlaku Di Johor Sekiranya..

 29/08/15

 Addin

  Mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini bakal menjadi penentuan "hidup dan mati" bagi masa depan politik Muhyiddin Yassin dalam parti itu. Jika beliau dipecat, maka berakhirlah sejarah panjangnya bersama parti itu, tetapi kiranya tiada sebarang tindakan dalam mesyuarat itu nanti, bererti selamatlah masa depannya dan kekallah beliau dengan jawatan nombor dua itu sehingga pemilihan UMNO seterusnya.
Untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin dalam mesyuarat MT yang berikutnya tentu saja tidak relevan lagi, kecuali jika Timbalan Presiden UMNO itu terus lantang mengkritik Perdana Menteri, Najib Razak berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta secara terbuka.
Walaupun Muhyiddin mula mendapat sokongan dan simpati daripada pelbagai pihak sebaik terdengar ura-ura beliau akan dipecat pada 9 September ini, kemungkinan yang berlaku di Johor barangkali di luar jangkaan jika pemecatan itu benar-benar berlaku.
Seorang pemimpin UMNO Johor yang enggan namanya disebut memberitahu, banyak cawangan UMNO di negeri itu akan dibubarkan jika Muhyiddin dipecat pada mesyuarat MT UMNO 9 September nanti.
Katanya, tindakan pembubaran itu diambil sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang dihadapkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu memandangkan beliau tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah atau moral yang mewajarkan pemecatan diambil terhadapnya.
Jika dipecat, kata pemimpin itu, kesalahan Muhyiddin hanyalah kerana bercakap benar dan berterus terang untuk menyelamatkan UMNO.
Katanya, cawangannya sendiri adalah antara yang paling awal dibubarkan sekiranya nasib buruk menimpa Muhyiddin pada mesyuarat MT UMNO itu.
Beliau menambah, mereka hanya mengambil keputusan membubarkan cawangan UMNO yang bermakna akan menghentikan segala aktiviti dan kegiatan berkaitan parti, tetapi tetap bersama UMNO sebagai ahli biasa sahaja.
Peristiwa Luar Jangka Akan Berlaku Di Johor Sekiranya
Meskipun tidak dapat menjangka jumlah tepat cawangan UMNO yang akan dibubarkan sebagai tanda protes itu, pemimpin terbabit meramalkan akan terdapat antara tiga hingga lima cawangan dari setiap bahagian akan mengambil keputusan tersebut.

No comments:

Post a Comment