Saturday, August 1, 2015

Rupanya masalah ini membuatkan Presiden PERKASA susah hati

30 Jul 2015
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali memberitahu, beliau tidak gembira dengan pelbagai isu yang melanda negara ketika ini.

Tanpa mengkhususkan kepada mana-mana isu, Ibrahim berharap agar segala masalah yang melanda negara kini dapat diselesaikan.

"Secara keseluruhan terhadap negara ini sekarang, saya tak gembira. Sebab terlalu banyak masalah.

"Dengan (masalah) hubungan kaum, ekonomi, mata wang ringgit jatuh, perubahan kabinet berlaku tiba-tiba. Isu selepas isu. Saya tak gembira.

"Saya tak spesifikkan (mana-mana isu) tetapi secara keseluruhan. Saya harap semua ini akan bertambah baik," katanya pada sidang medianya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu berehat semasa siasatan 1MDB dilakukan.

Kalau dengar nasihat PERKASA...

Bagaimanapun, Ibrahim tidak mahu menjawab langsung soalan tersebut.

Selain itu, secara berseloroh Ibrahim berkata, sekiranya pihak kerajaan mendengar nasihat daripada PERKASA, ia akan membantu menyelesaikan sedikit sebanyak masalah yang melanda negara.

"Kalau dengar nasihat PERKASA, kalau tak banyak pun, sikit-sikit, ia akan membantu," katanya lagi.

Selasa lalu berlaku rombakan kabinet yang menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri serta beberapa menteri lain.

Pengguguran itu dispekulasikan berikutan kelantangan Muhyiddin mengkritik Najib berhubung isu sekitar kontroversi 1MDB.

Isu 1MDB kembali hangat selepas laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan sejumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib. 
Malaysiakini 

No comments:

Post a Comment